“JIKA saya bercerita kepada orang lain mengenai pengalaman bertemu Dewa Monyet pada ketika itu, mungkin orang berkata saya tidak siuman.”
Itulah kata-kata yang keluar daripada mulut seorang pembuat batu nisan, Kuah Leong Chuan, 66, ketika ditemui di sebuah bangsal usang tempat dia bekerja di atas kawasan bukit berhampiran bekas tapak Pusat Kesihatan lama Kuala Selangor yang sudah menjadi hutan yang agak menyeramkan.
Apa yang menarik, Leong Chuan membuat batu nisan untuk orang Islam dan menerima banyak tempahan sejak puluhan tahun lalu.
Bercerita lanjut, katanya, ketika kejadian beberapa tahu lalu itu, dia bersiap untuk pulang ke rumah dengan menunggang basikal tuannya.
“Waktu itu suasana sekeliling agak samar kerana menghampiri senja. Saya terkejut apabila makhluk setinggi lebih 1.8 meter (enam kaki) itu tiba-tiba muncul dalam jarak dua depa di tepi sebatang pokok.
“Apa lagi, kelam-kabut saya menuruni bukit kerana bimbang diekori Dewa Monyet memandangkan makhluk yang memakai rantai emas besar di leher itu memandang dengan pandangan tajam,” katanya.
Jelasnya, nasibnya agak baik kerana dia tidak demam atau tersampuk setelah melihat makhluk mistik tersebut dan itulah kali terakhir dia bertemu dengan Dewa Monyet itu.
Cuma apa yang pelik jelasnya, keesokan harinya dia membeli kad loteri dan mendapat RM200 setelah menggores kad tersebut.
“Saya tidak pasti adakah saya mendapat ‘ong’ (tuah) kerana bertembung dengan makhluk menakutkan itu. Bila orang bertanya saya macam mana tiba-tiba ada ‘ong’, saya cuma berdiam diri kerana tidak mahu dianggap sengaja mereka cerita,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai makhluk tersebut, Leong Chuan menjelaskan, sepanjang memahat batu nisan setengah abad lalu, itulah kali pertama dan terakhir dia melihatnya.
Katanya lagi, sudah 50 tahun dia membelah batu granit dan memahat batu nisan di kawasan kejadian, namun itulah peristiwa yang tidak dapat dilupakannya seumur hidup.
Dia yang mewarisi pekerjaan itu daripada bapanya sejak usia belasan tahun mengakui, kawasan tempat dia bekerja itu agak ‘keras’.
Selain bertemu Dewa Monyet, banyak pengalaman mistik dan pelik yang dialaminya sepanjang bekerja di kawasan tersebut.
Ceritanya lagi, dia pernah melihat tupai berwarna hitam pekat memanjat pokok di kawasan hutan kecil tersebut.

Jelasnya biasanya tupai berwarna coklat, tetapi tupai hitam yang ditemui memang luar biasa bentuknya.
“Saya pasti itu bukan tupai dari dunia sini, tetapi dari dunia di sebelah sana (alam ghaib),” jelasnya bersungguh-sungguh.
Leong Chuan yang memulakan kerja seawal pukul 8 hingga 5 petang menjelaskan, selain itu, terdapat juga haiwan seperti ayam hutan, babi hutan dan ular di kawasan tersebut.
Katanya, ayam hutan sering dilihat terbang dan berkokok nyaring sejak 50 tahun dia bekerja di situ, namun kebelakangan ini kelibatnya sukar dilihat.
“Saya tidak pasti siapa yang menjaga ayam-ayam hutan tersebut.
“Pasti ada ‘orang’ yang menjaganya tetapi kita tidak nampak,” katanya.
Walaupun makhluk ganjil silih berganti ‘menguji’ keberaniannya, namun dia tetap tekun memahat batu granit yang dipotong dalam bentuk kiub hingga menjadi batu nisan mahupun batu giling di tepi hutan berkenaan.
Ulasnya lagi, semua makhluk ada takdir dan rezeki tersendiri maka hormatilah asas kehidupan masing-masing.
Bercerita tentang batu nisan yang menjadi sumber rezekinya, lokasi di tepi hutan kecil tersebut menjadi ‘kilang’ dia menghasilkan produk untuk umat Islam tersebut.
Jelasnya, pada bulan Ramadan pelanggan agak kurang membuat tempahan, atas faktor umat Islam lebih menumpukan ibadah berpuasa.
“Biasanya batu nisan dipasang selepas 40 hari selepas jenazah dikebumikan. Bila ada tempahan saya akan mula memahat antara tiga hingga empat hari.
“Sepanjang tempoh tersebut, saya membuat kerja daripada melakar, mengukir, memahat dan menulis dengan tulisan khat atau Jawi nama arwah dan tarikh kematiannya,” katanya.
Leong Chuan yang popular di media kerana membuat batu nisan secara manual dan mahir menulis Jawi memberitahu, tiada pula kejadian misteri sepanjang beliau menyempurnakan batu tanda kubur tersebut.
“Tempahan biasanya diuruskan di kedai saya lebih kurang 100 meter dari sini. Semua urusan bisnes batu nisan dijalankan seperti perniagaan lain tiada peristiwa pelik yang berlaku,” katanya.
Perkara pelik dan agak mistik katanya, hanya berlaku di lokasi beliau menghasilkan batu nisan, itupun dia menganggap ‘mereka’ sebagai teman tetapi misteri.
————————————————————————-
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat
di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.
















