fbpx

Puntung rokok dipercayai punca kereta bawa mercun bola meletup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemusnahan akibat kereta yang meletup di Kampung Sireh, Kota Bharu baru-baru ini.

KOTA BHARU – Kejadian sebuah kereta yang membawa muatan mercun bola yang meletup di Simpang Empat Lampu Isyarat, Kampung Sireh di sini semalam dipercayai berpunca daripada puntung rokok yang dibuang oleh mangsa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, maklumat itu diperoleh daripada beberapa orang saksi yang melihat mangsa, Wan Hassan Wan Ali, 48, cuba membuang puntung rokok sebelum kereta jenis Proton Iswara Aeroback dipandunya meletup kira-kira pukul 5.30 petang.

“Ketika kejadian, sebuah kereta yang berada di hadapan kereta mangsa telah berhenti di persimpangan itu ekoran lampu isyarat merah.

“Ketika itu, ada saksi telah melihat mangsa cuba membuang puntung rokok keluar dari cermin yang dibuka dalam keadaan sempit sebelum kereta tersebut meletup,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melakukan tinjauan di lokasi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Terusan, Limbat di sini hari ini.

Menurut Shafien, polis sedang menyiasat mercun bola yang dibawa oleh mangsa dalam kuantiti banyak di dalam keretanya.

Katanya, sehubungan dengan itu, pihaknya juga masih menyiasat penglibatan mangsa terlibat dengan kegiatan penyeludupan mercun selain semua barangan yang dibawa di dalam kereta itu dijual secara borong atau runcit.

“Semakan lanjut turut mendapati Wan Hassan mempunyai rekod jenayah berkaitan kes penyalahgunaan dadah dan pecah rumah.

“Selain itu, tiga daripada empat mangsa termasuk anggota polis dan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini. Keadaan semua mangsa dilaporkan stabil dengan salah seorang mangsa sudah dibenarkan pulang,” katanya.

Ujar Shafien, siasatan turut mendapati, kejadian itu memberi impak besar apabila kesan letupan kereta itu tersebar sehingga 100 meter dari lokasi kejadian.

Katanya, kejadian itu merupakan kes terbesar dan pertama kali berlaku di negeri ini sehingga polis Kelantan memerlukan bantuan pasukan Unit Bom, Bukit Aman untuk menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca letupan itu.

“Kita juga meminta orang ramai terutama penduduk sekitar yang terkesan supaya tampil membuat laporan untuk memudahkan polis menilai jumlah kerugian yang dialami.

“Saya juga berharap kepada pengguna jalan raya supaya bersabar kerana beberapa laluan di lokasi kejadian ditutup sementara sebelum kerja-kerja siasatan selesai,” katanya.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan selepas kereta jenis Proton iswara Earoback membawa muatan mercun bola yang dipandu meletup petang semalam.

Kejadian ngeri itu menyebabkan mangsa, Wan Hassan tercampak kira-kira 20 meter dari keretanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI