fbpx

Pertempuran di Masjid Al-Aqsa bukti Israel cabar gencatan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis Israel melempar bom bunyi dan menembak peluru getah ke arah ribuan penduduk Palestin yang ketika itu baru selesai mengerjakan solat Jumaat. - AFP

BAITULMUQADDIS – Seramai 20 penduduk Palestin tercedera dalam insiden pertempuran terbaharu dengan polis Israel yang tercetus di perkarangan Masjid Al-Aqsa petang semalam, lapor CNN hari ini.

Dalam kejadian tersebut, polis Israel melempar bom bunyi dan menembak peluru getah ke arah ribuan penduduk Palestin yang ketika itu baru selesai mengerjakan solat Jumaat.

Seorang wartawan CNN yang berada di lokasi kejadian berkata, puluhan anggota polis Israel turut memukul pengamal media dengan belantan dan cuba mengacukan senapang ke arah mereka sambil menggelar mereka sebagai ‘penipu’.

Menurut laporan agensi berita Palestin, pihak berkuasa Palestin mengutuk insiden tersebut dengan menyifatkan tindakan ganas polis Israel itu sebagai pencerobohan di perkarangan Masjid Al Aqsa.

“Provokasi berterusan yang dilakukan Israel, serangan dan pencerobohan telah mencabar usaha antarabangsa yang telah dibuat untuk menghentikan keganasan di Baitulmuqaddis dan wilayah-wilayah Palestin lain yang ditakluki serta menghentikan serangan ke atas Gaza,” ujar kenyataan pihak berkuasa Palestin.

Insiden pertempuran tersebut berlaku dalam tempoh hanya beberapa jam selepas Israel dan pejuang Hamas bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata bagi mengakhiri konflik berdarah di Semenanjung Gaza.

Langkah untuk mengenakan gencatan senjata tajaan Mesir itu diambil setelah mendapat tekanan penduduk dan pemimpin antarabangsa yang mahu pertumpahan darah ditamatkan.

Susulan pengumuman tersebut, ribuan penduduk Palestin semalam memenuhi jalan-jalan di Bandar Gaza dan Baitulmuqaddis untuk meraikan berita gembira buat mereka setelah 11 hari Rejim Zionis membedil Gaza tanpa henti sehingga memusnahkan bandar tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN