fbpx

Malaysia sedia sokong bina semula Gaza susulan gencatan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Malaysia bersedia terlibat dalam menyokong inisiatif sejagat bagi pembinaan semula Gaza susulan gencatan senjata hari ini yang dipersetujui antara Hamas dan rejim Israel.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha itu termasuk mewujudkan semula makmal ujian Covid-19 tunggal di wilayah tersebut yang musnah dibedil tentera Zionis.

“Susulan situasi genting di Gaza, fokus kita perlu segera menyediakan bantuan kemanusiaan dan pembinaan kembali fasiliti awam untuk rakyat Palestin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau mengulas perkembangan positif dicapai antara kumpulan pejuang Hamas dan rejim negara haram Israel melalui gencatan senjata mulai 2 pagi (7 pagi waktu Malaysia) pada hari ini.

Pengumuman secara mengejut itu mengakhiri krisis berdarah bermula pada 6 Mei lalu dengan 232 orang awam dan pejuang Hamas syahid akibat serangan peluru berpandu Israel di Gaza.

Di Tebing Barat, lokasi puncanya konflik ekoran keputusan zalim mahkamah Israel mengusir enam keluarga Palestin dari Sheikh Jarrah, seramai 26 warga Palestin syahid dibunuh askar Zionis.

Menjelaskan lebih lanjut, Hishammuddin berkata, Malaysia menzahirkan penghargaan kepada usaha pelbagai negara melaksanakan gencatan senjata demi mengakhiri pertumpahan darah.

“Semua pihak perlu memanfaatkan kesempatan gencatan itu bagi meredakan ketegangan dan memastikan misi perdamaian yang berpanjangan di wilayah bergolak tersebut,” tegas beliau.

Pada masa sama, Malaysia menyokong inisiatif global mencari penyelesaian konflik lebih 70 tahun di Palestin setelah dicerobohi Zionis sejajar resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Ini katanya, dengan terus menggesa komuniti antarabangsa menamatkan penderitaan rakyat Palestin daripada ditindas melalui perluasan pendudukan secara haram oleh pendatang Yahudi.

Kata Hishammuddin, kerajaan akan bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak terutama badan bukan kerajaan bagi menyalurkan bantuan dalam pembinaan semula pembangunan Palestin.

“Malaysia malahan menuntut rejim Israel mengakhiri kepungan tidak sah ke atas Gaza serta menghentikan amalan Apartheid di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur,” kata beliau.

Justeru tegasnya, Putrajaya berdiri teguh menyokong pembentukan negara Palestin merdeka berdaulat mengikut sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI