fbpx

Warga asing bertempiaran lari diserbu polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noorzainy (berdiri kanan) memeriksa beberapa pekerja warga asing di sebuah tapak pembinaan di Kepala Batas hari ini. Foto MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN

SEBERANG PERAI – Kira-kira 30 pekerja warga asing di sebuah tapak pembinaan di Bertam Perdana, Kepala Batas di sini bertempiaran lari dipercayai kerana tidak mempunyai dokumen yang sah sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan mengejut hari ini.

Dalam operasi bersepadu kira-kira pukul 10 pagi itu, seramai kira-kira 30 lagi lelaki yang sedang leka bekerja bagimanapun berjaya ditahan pihak berkuasa bagi semakan lanjut dokumen.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pada serbuan itu, pihaknya mendapati majikan di tapak pembinaan berkenaan melakukan pelbagai kesalahan.

“Kira-kira 30 hingga 40 orang daripada mereka dipercayai melarikan diri di dalam kawasan semak, namun 30 daripada mereka diperiksa.

“Majikan didapati melakukan kesalahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Imigresen, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB),” katanya kepada pemberita hari ini.

Noorzainy berkata, PDRM mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM35,000 kepada majikan terbabit kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Kompaun RM25,000 dikenakan kerana pekerja tidak membuat ujian calitan Covid-19 dan RM10,000 kerana pekerja tidak mematuhi SOP seperti tidak memakai pelitup muka, tidak memeriksa suhu dan tidak mengimbas aplikasi MySejahtera.

“Manakala pihak KKM turut mengeluarkan notis penutupan tapak berkenaan selama tujuh hari,” katanya.

Pada operasi itu, CIDB mengeluarkan notis kepada wakil kontraktor utama bagi mendapatkan maklumat berikutan pekerja berkenaan mempunyai masalah berkaitan dokumentasi.

Sementara itu, JTK mengeluarkan notis saman kepada majikan selepas didapati mendapatkan perakuan penginapan serta gagal menyediakan tilam, katil dan almari berkunci kepada pekerja.

MBPS turut menyita sebuah gerai yang dibina di dalam kawasan pembinaan itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI