fbpx

Kembalinya nostalgia cinta Adam & Hawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Dekatnya Cinta kini dapat ditonton menerusi Astro First.

KISAH cinta Adam Mukhriz dan Ain Hawani menerusi drama siri paling popular tahun 2012, Adam & Hawa pernah mencetus fenomena tersendiri dalam industri seni hiburan.

Sehingga kini drama siri tempatan pertama yang ditayangkan dalam format HD tersebut masih diperkatakan, sekali gus menjadi karya malar segar.

Gandingan mantap Datuk Aaron Aziz dan aktres Nadiya Nisaa juga antara daya tarikan utama naskhah berkenaan diminati ramai.

Selepas sembilan tahun, Ain Hawani dan Adam Mukriz kini kembali membasuh rindu peminat Adam & Hawa menerusi filem Dekatnya Cinta yang menemui penonton Astro First, sejak 1 Syawal.

Tambah mengujakan, karya romantik terbitan Global Station tersebut turut menampilkan barisan pelakon popular seperti Farah Nabilah, Datuk Fazley Yaakob dan Nadya Syahera.

Drama berkenaan juga menjadi kemunculan pertama Farah Nabilah selepas berehat seketika.

Dekatnya Cinta masih mengekalkan sentuhan pengarah yang selama ini berjaya menyumbang rating tinggi drama tanah air, Feroz Kader.

Filem berkenaan turut memuatkan beberapa babak romantik sedutan daripada drama 80 episod terdahulu yang pasti dapat membawa penonton imbau kembali momen cinta Ain Hawani dan Adam Mukriz.

Tidak cukup dengan itu, lagu tema popular Adam & Hawa bertajuk Muara Hati, nyanyian penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Hafiz Suib sekali lagi mengiringi babak-babak meruntun jiwa dalam Dekatnya Cinta.

Penerbit Eksekutif karya berkenaan, Zetty Alia Datuk Ramly berkata, Dekatnya Cinta menyaksikan sisi berbeza Ain Hawani dan Adam Mukriz selepas berumah tangga dan dikurniakan anak.

“Biarpun drama ini satu kesinambungan daripada nashkah terdahulu, namun buat penonton yang baru mengenali Ain dan Adam, mereka masih boleh mengikuti filem Dekatnya Cinta kerana menampilkan naratif yang baharu,” katanya.

Dekatnya Cinta mengisahkan sepasang suami isteri, Adam Mukriz dan Ain Hawani yang hidup bahagia sehinggalah hadir orang ketiga, Zulaika (Farah Nabilah).
Adam mula beralih arah kerana Ain Hawani tidak dapat memberi tumpuan pada keluarga disebabkan sibuk dengan kerjaya dan menyambung pengajian.

Keadaan bertambah rumit apabila Adam ternampak Ain Hawani menerima sejambak bunga daripada Profesor Yusoff (Datuk Fazley Yaccob). Akibat diselubung kemarahan dan cemburu, Adam Mukriz telah melafazkan cerai.

Dari situ, bermulalah perjalanan hidup baharu buat mereka berdua dalam berdepan dengan pelbagai dugaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI