fbpx

Solat Aidilfitri: Kapasiti satu pertiga ruang masjid, surau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri mengekalkan ketetapan membenarkan solat sunat Aidilitri yang di seluruh negeri ini dengan kapasiti satu pertiga ruang solat masjid dan surau serta mematuhi penjarakkan fizikal satu meter.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, keputusan itu tidak berubah selepas kebenaran tersebut mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam pekeliling yang dikeluarkan pada Khamis lalu.

“Kita tahu Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan bahawa peraturan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara membenarkan hanya 20 dan 50 jemaah sahaja hadir ke surau dan masjid bagi mendirikan solat sunat Aidilitri.

“Bagaimanapun, kita di Johor masih kekal gunakan kebenaran yang dikeluarkan dalam pekeliling sebelum ini iaitu pelaksanaan solat sunat Aidilitri tidak melebihi satu pertiga kapasiti ruang solat masjid dan surau serta mematuhi penjarakan fizikal satu meter,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, dalam satu kenyataan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu solat sunat Aidilfitri dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah.

Beliau menambah, bagi surau dan masjid yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah, hanya 20 jemaah sahaja dibenarkan hadir.

Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.

Mengulas lanjut, Tosrin memberitahu, bagi daerah yang berada di bawah arahan PKP (seluruh Johor), kegiatan menziarahi tanah perkuburan adalah tidak dibenarkan.

Katanya, kebenaran ini berkuat kuasa mulai Jumaat lalu sehingga ada ketetapan lain yang ditentukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Keputusan ini adalah berdasarkan hujah firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah yang bererti Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.

“Ia juga berpandukan kaedah Fiqh yang bermaksud apa-apa perintah syarak yang tidak boleh dilakukan kesemuanya maka janganlah pula ditinggalkan kesemuanya.

“Bagi mana-mana masjid atau surau yang dikesan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan pegawai masjid, ahli jawatankuasa atau jemaahnya hendaklah ditutup serta merta mengikut tempoh yang ditentukan oleh Pegawai Kesihatan Daerah,” tegasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI