fbpx

Dengar suara anak di luar bilik, tapi tak boleh buat apa-apa – Nora Danish

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORA bersama dua anaknya, Putra Rayqal (belakang) dan Mohamed Neqayl.

PETALING JAYA – “Dulu selalu dengar orang lain di luar sana yang kena. Sekarang giliran saya. Jadi, saya tahu bagaimana rasanya, perit.

“Tak dapat jumpa keluarga walaupun hanya beberapa langkah kaki yang memisahkan kami. Boleh dengar suara anak di luar bilik tapi tak boleh buat apa-apa.”

Demikian luahan pelakon Nora Danish selepas dirinya ‘terkurung’ di dalam rumah sendiri gara-gara dijangkiti virus Covid-19 pada 8 Mei lalu.

Nora menerusi hantaran video dalam Instagramnya sebentar tadi berkata, dia harus kuat meneruskan hidup dan sentiasa positif mendepani ujian yang menimpanya ketika ini.

“Pekerjaan saya sebagai pelakon memang kena keluar rumah dan jumpa ramai orang. Jadi kebarangkalian untuk kena Covid-19, sangat tinggi.

“Sampaikan kami terpaksa tanamkan dalam kepala untuk reda, walaupun jaga prosedur operasi standard (SOP) tapi risiko sangat tinggi.

“Tetapi saya bersyukur sebab kena virus ini pada usia sekarang, sebab saya tahu diri kuat dan boleh lawan sakit,” ujarnya.

Pada masa sama, pelakon drama Bougainviella itu meluahkan rasa syukur kerana suami dan dua orang anaknya negatif Covid-19.

“Dalam rumah ada suami, Neyney dan Rayqal. Mereka negatif. Sedangkan kami berpelukan, tidur sekatil dan berciuman. Tapi semuanya ketentuan Allah.

“Saya sudah tiga hari jalani kuarantin kendiri di dalam bilik di rumah. Sebab saya tidak tunjukkan apa-apa simptom kronik yang memerlukan saya dibawa ke tempat kuarantin.

“Saya tahu tanggungjawab saya besar untuk kongsikan kepada anda bahawa Covid-19 memang wujud. Jaga diri, jangan keluar rumah. Raya dah nak dekat kan? Jadi mesti kalian sibuk buat juadah raya. Saya pun akan ambil foto raya, tapi dalam bilik sahaja,” katanya.

Nora dan rakan pelakon Tiz Zaqyah mengesahkan diri mereka dijangkiti Covid-19 pada Ahad lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI