fbpx
SYED IQMAL

Syed bangkit kaut rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA sedang asyik di puncak kerjaya, namanya terpalit tragedi hitam sehingga meletak dirinya di suatu tempat paling gelap dalam hidup. Satu demi satu badai yang melanda dirinya sehingga satu saat, lelaki muda itu pernah diselubungi ketakutan untuk bersua muka dengan masyarakat.

Itu antara luahan pemilik nama sebenar Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful tentang kronologi getir yang menerjang dadanya.

Menterjemah helaian-helaian masa lalu mendepani hari esok, jejaka berkulit sawo matang itu melekapkan satu pegangan. Katanya, dugaan menjadi anugerah. Bermula dengan ujian, berakhir dengan rezeki.

Tidak menganggap segala ujian yang dilemparkan sebagai bebanan, si pemilik mata bundar yang mesra disapa sebagai Syed itu percaya semua yang menimpa ialah titik permulaan rezeki hari ini.

Tutur jejaka berusia 26 tahun itu kepada Pose, dia enggan terpuruk menangisi dan mengingati semua memori hitam semalam.

“Tidak dinafikan peristiwa lalu banyak beri impak kepada kehidupan saya. Pernah satu ketika rasa tidak mahu keluar dari rumah kerana takut dipandang hina masyarakat.

BAKAL bergelar pelakon, bekas peserta program Da’I itu bakal muncul dalam sebuah drama terbitan Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd. tidak lama lagi.

“Paling terharu, ketika diri menerima ribuan kecaman, Tuhan kurniakan saya jutaan rezeki yang tidak pernah terfikir dek akal, melimpah ruah.

“Segala yang berlaku seperti satu proses kelahiran semula, semuanya seperti dunia yang baharu,” katanya teruja.

Syed bagaimanapun tidak mahu terlalu berbangga dengan semua yang diraih. Dia enggan hanyut dalam keseronokan tersebut.

“Dahulu, Tuhan letak saya di kedudukan paling bawah (lokap) yang tidak pernah saya bayangkan tetapi semuanya sudah terbalik.

“Dapat saya simpulkan, sejak kejadian tersebut, saya terima lebih banyak perkara positif daripada negatif. Pelik tapi itu yang saya lalui,” ujarnya yang mula dikenali menerusi program Da’I terbitan TV3.

ENGGAN terpuruk menangisi nasib buruk, Syed sebaliknya mahu mengaut segala rezeki depan mata ketika ini kerana menganggap peluang yang datang tidak harus disia-siakan. – Foto MUHAMMAD IQBAL ROSLI

Cabang bisnes

Benarlah kata orang, rezeki selalunya datang tanpa diduga. Ketika namanya dikecam hebat, dia muncul dengan produk-produk istimewa buat peminat, seperti biskut perisa karamel coklat, Asyedap dan terbaharu, tudung berjenama Hejhub.

“Saya sedar ramai yang kata saya ambil kesempatan jual macam-macam benda menggunakan populariti yang ada tetapi ini namanya rezeki.

“Jika peluang sudah datang kepada kita, mengapa harus dilepaskan begitu sahaja.

“Bercakap tentang biskut Asyeda, itu merupakan resepi ibu saya sendiri yang merupakan seorang pembuat biskut sejak sekian lama. Jadi, saya gunakan platform sekarang untuk melebarkan dan melariskan lagi produk makanan itu.

“Alhamdulillah sambutan sangat baik terutama pada bulan Ramadan ini, ramai beli sebagai juadah hari raya,” katanya.

Berbicara tentang jenama tudung miliknya pula, dia tidak menyangka produknya itu mendapat sambutan luar biasa.

“Niat saya bukan sahaja untuk berniaga tetapi bagi menggalakkan lebih ramai kaum wanita untuk mengenakan hijab. Sambil berniaga kita juga dapat pahala,” kata penyanyi yang popular dengan single Albi Nadak.

SYED percaya terdapat individu tidak puas hati dan menghantar sihir melalui pandangan mata kepadanya.

Penunggang agama

Ditebak soalan sensitif berhubung dakwaan golongan sepertinya menggunakan agama untuk melariskan produk jualan, Syed bagaimanapun tidak melenting ketika memberikan jawapan.

“Semua orang ada cara masing-masing.

“Sungguhpun perangai gila-gila begini, dakwah saya tetap diteruskan.

“Cara saya bukan dalam bentuk perhimpunan atau ceramah di masjid tetapi menerusi platform sedia ada iaitu media sosial dan jualan produk.

“Perniagaan saya berlandaskan cara Islam. Saya juga aktif mengajar kelas bahasa Arab setiap minggu, dakwah tidak pernah berhenti.

“Rasanya tidak salah pun perkara ini kerana semua orang ada cara tersendiri. Jadi, bagi saya tiada istilah menunggang agama dalam hal ini,” jelas anak kelahiran Perlis itu dalam nada tegas.

Sihir mata

Membuka mulut tentang kisah sihir mata yang dikongsinya baru-baru ini, Syed percaya terdapat individu tidak puas hati dan menghantar sihir melalui pandangan mata kepadanya.

“Perkara ini berlaku sejak tahun lalu apabila ada beberapa orang ustaz beritahu ada orang hantar sihir menerusi pandangan mata dengan niat supaya jadi gila dan menjatuhkan aura saya.

“Selepas berubat, saya dinasihatkan untuk tidak terlalu kerap memandang kamera ketika melakukan siaran langsung. Semua itu sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak sihir,” kongsinya.

Rentetan daripada niat jahat tersebut, dia mengalami sakit kepala yang teruk namun semakin beransur pulih selepas dirawat.

“Alhamdulillah saya tidak lagi alami sakit kepala tetapi akan lebih berjaga-jaga selepas ini. Bukan semua orang kita boleh percaya,” tuturnya lagi.

Mengakhiri perbualan, penceramah bebas itu berharap Ramadan dan Syawal ini tetap membawa 1,001 sinar dalam kehidupan sesiapa jua, termasuk dirinya.

Biar teruji kanan dan kiri, asalkan kita jangan lelah berharap rahmat dari Ilahi.

KETIKA nama dikecam hebat, Syed muncul dengan produk-produk istimewa buat peminat, seperti biskut perisa karamel coklat, Asyedap dan terbaharu, tudung berjenama Hejhub.

POPULAR