PETALING JAYA – Impian pelakon Nora Danish untuk khatam al-Quran sekali lagi pada bulan Ramadan termakbul apabila dia berjaya melunaskannya semalam.
Nora berkongsi kegembiraannya berjaya khatam al-Quran pada 10 hari terakhir Ramadan dalam Instagramnya.

“Ramadan ke-22. Alhamdulillah syukur Ya Allah SWT. #roadtokhatamalquran bulan Ramadan, Allah kabulkan.
“Syukur Ya Allah, terima kasih Allah,” tulisnya sebak.
Lebih mengharukan, Nora, 39, berkongsi detik tersebut diiringi dengan hujan rahmat.
“Lepas khatam tadi di rumah mak Nora, terus hujan. Hujan rahmat. Habis doa, hujan berhenti. Masya-Allah, Allah Maha Mengetahui.
“Semoga Allah kabulkan doa kami semua,” katanya lagi.
Ini merupakan kali kedua pelakon drama Bougainviella itu berjaya khatam al-Quran pada bulan Ramadan selepas kali pertama melakukannya pada tahun lalu.
Pencapaian manis tersebut turut dihujani ucapan tahniah daripada rakan selebriti dan suami Nora, Nedim Nazri.
Pada masa sama, pengikutnya turut mendoakan agar pelakon genit itu terus istiqamah membaca al-Quran. – K! ONLINE








