fbpx

Lan Pet Pet bukan jenis baran – Apek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAIFUL Apek

BANGI – Lebih dua dekad mengenali Lan Pet Pet, Saiful Apek menolak dakwaan mengatakan rakan seperjuangan dalam kumpulan Senario, Lan Pet Pet sebagai lelaki baran sehingga tergamak memukul orang.

Katanya, situasi semasa yang memberikan tekanan dipercayai menjadi antara punca seseorang mengalami depresi seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini.

“Lan yang saya kenal bukan seorang lelaki perengus atau panas baran. Itu bukan sifat dia. Saya pun baru dimaklumkan mengenai insiden terbaharu yang dihadapinya.

“Cuma bersandarkan pengalaman sendiri, saya nampak rasa cepat marah itu boleh terjadi disebabkan tekanan kerana dalam keadaan sekarang banyak faktor penyebab yang hanya menunggu pencetusnya.

“Sebenarnya ramai berdepan tekanan emosi sebegini kerana saya juga pernah depresi namun mungkin saya kuat serta boleh salurkan perasaan amarah itu ke tempat lain.

“Semua itu bergantung kepada cara dan ketahanan mental seseorang. Jika mampu mengurus atau mengalihkan perhatian terhadap perkara lain, itu sudah cukup bagus,” katanya kepada K! Online ketika ditemui pada majlis Vieura, malam tadi.

Terdahulu, nama Lan Pet Pet atau nama sebenar Mazlan Ahmad, 51, hangat sejak kelmarin selepas satu rakaman video yang menunjukkan pelawak itu membelasah seorang penghantar makanan tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan Lan sudah membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku di hadapan Kedutaan Rusia itu pada petang semalam.

Dua tahun lalu, Lan pernah dikenakan hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku bersalah menumbuk muka seorang pengawal keselamatan.

Bagaimanapun akui Saiful lagi, dia dan rakan Senario lain masih belum menghubungi Lan kerana mahu memberikan ruang kepada sahabat mereka untuk bertenang.

“Persahabatan kami memang rapat sejak dahulu, ibaratnya sudah jadi adik beradik malah sampai sekarang pun kami kerap berhubung terutama sejak projek gabungan semula Senario direalisasikan.

“Cuma kalau timbul isu peribadi sebegini, kita akan faham dan bagi keadaan tenang dulu beberapa hari. Kita pun tak mahu mengusutkan lagi situasi dengan bertanya macam-macam,” ulasnya.

Sementara itu, mengenai projek baharu Senario, Saiful atau Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff, 52, mendedahkan pengarah Aziz M Osman merancang menghasilkan filem susulan Senario.

Dedah penerima anugerah Ikon Komedi Malaysia 2021 itu lagi, jika sebelum ini Lan tidak dapat bersama Senario dalam projek pembikinan album baharu, kali ini dia sudah menyatakan persetujuan untuk filem berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN