BUENOS AIRES, Argentina – Kerajaan Argentina menjana pendapatan lebih $2 bilion (RM8.2 bilion) menerusi cukai sekali bayar yang dikenakan terhadap golongan jutawan di negara tersebut.
Perolehan cukai kekayaan itu digunakan untuk membayar bekalan perubatan dan bantuan kepada peniaga kecil yang terjejas akibat Covid-19.
Kira-kira 80 peratus daripada 12,000 jutawan yang disasarkan dalam cukai tersebut telah membayar cukai mereka sekali gus menjana perolehan sekitar AS$2.25 bilion (RM9 bilion), kata Pentadbiran Persekutuan Awam (AFIP).
Rang undang-undang mengenainya diluluskan Dewan Senat pada Disember tahun lalu dan dikenali sebagai “sumbangan solidariti” oleh rakyat Argentina yang memiliki aset melebihi $2.1 juta (RM8.6 juta).
Langkah itu yang menyasarkan 45 juta penduduk paling kaya di Argentina, bertujuan mengumpul dana untuk membeli bekalan perubatan, membantu perusahaan kecil dan sederhana, membiayai bantuan sosial serta menyediakan bantuan gas asli kepada penduduk luar bandar.
“Sumber cukai kekayaan yang ditubuhkan ini sangat penting untuk berdepan keadaan darurat kesihatan dan ekonomi akibat penularan wabak Covid-19,” kata Ketua AFIP, Mercedes Marco del Pont.
Beliau berkata, kira-kira 3,000 individu gagal membayar ‘cukai jutawan’ itu di mana sekitar 200 daripada mereka pergi ke mahkamah untuk meminta pengecualian daripada pembayaran tersebut.
Mereka termasuk pemilik perniagaan terkenal dan bekas bintang bola sepak Manchester United dan Manchester City, Carlos Tevez yang kini bermain untuk Boca Juniors yang berpangkalan di Buenos Aires.
Pihak berkuasa cukai memaklumkan akan meneliti pembayaran yang tidak dibuat oleh mereka yang tidak mempunyai pengecualian kehakiman.
Argentina merupakan antara negara paling teruk dilanda wabak Covid-19. Negara Amerika Selatan itu mencatat lebih tiga juta kes setakat ini dan lebih 64,00 kematian. – AFP














