fbpx

Lagi produk kosmetik beracun dikesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Produk ini dilarang dijual di Malaysia.

PUTRAJAYA – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga produk kosmetik mengandungi racun berjadual melibatkan Deeja Cosmetic Yulai Cream, Deeja Cosmetic Laila Cream dan Deluxe Beauty-Ultra Lightening Cream Pearl Perfect Fairness.

Produk Deeja Cosmetic Yulai Cream disahkan mengandungi hydroquinone, Deeja Cosmetic Laila Cream pula dengan kandungan merkuri dan betamethasone 17-valerate manakala, Deluxe Beauty-Ultra Lightening Cream Pearl Perfect Fairness mengandungi merkuri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, notifikasi produk kosmetik tersebut telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM serta tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

“Produk mengandungi hydroquinone dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

 

Antara produk kosmetik mengandungi racun yang dikhuatiri memudaratkan pengguna.

Noor Hisham menjelaskan, hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

“Betamethasone 17-Valerate pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Selain itu, merkuri juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan serta boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN