fbpx
Gambar hiasan

Jangan bersedih, kita semua senasib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPADA rakan-rakan perantau, kita imbas kembali apa yang berlaku lebih sebulan lalu.

Pada 15 Mac, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkongsi berita gembira apabila memaklumkan angka kes positif Covid-19 di Malaysia dijangka turun sekitar 500 kes sehari menjelang Mei ini.

Bagaimanapun, Dr. Adham memaklumkan jangkaan itu bergantung kepada tahap kepatuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Pada 29 Mac, tanda-tanda kepada penurunan kes mula menampakkan hasil.

Pada tarikh tersebut, buat pertama kalinya sejak 9 Disember angka kes berada di bawah 1,000 apabila merekodkan sebanyak 941 kes.

Ketika itu, hampir seluruh rakyat menarik nafas lega.

Apa yang terlintas di kepala saat itu adalah peluang merentas negeri dan pulang ke kampung untuk berhari raya.

Maka, berduyun-duyunlah anak perantau di seluruh pelosok negeri mencari tiket untuk pulang berhari raya.

Ramai yang membeli tiket bas dan kereta api, namun tidak kurang juga yang berhabis wang saku untuk membeli tiket kapal terbang.

Bagi yang pulang berkereta bersama keluarga, perancangan awal telah dibuat.

Ada yang telah menempah baju raya dan ada juga yang memborong kuih untuk sajian pada 1 Syawal.

Niat mereka hanya satu, iaitu pulang ke kampung untuk bertemu keluarga tercinta.

Apa yang dilakukan ini adalah perkara normal bagi mana-mana insan bergelar perantau.

Tahap keterujaan untuk pulang ke kampung terutama menjelang hari raya adalah sesuatu yang sangat-sangat dinantikan.

Namun, sejak kebelakangan ini, harapan yang disimpan sejak sekian lama itu bagaikan tinggal mimpi.

Keterujaan itu juga mula kendur sedikit demi sedikit apabila kes positif tiba-tiba melonjak. Saban hari, kes meningkat dengan satu demi satu kluster diumumkan.

Dari kluster sekolah hinggalah ke kluster bazar, semua menjadi asbab kepada berlakunya peningkatan kes.

Di akhirnya, kerajaan membuat keputusan besar.

Larangan merentas negeri atau lebih tepat lagi, larangan balik ke kampung pada hari raya dikuatkuasakan serta merta, seperti mana yang dilakukan pada tahun lalu.

Hakikatnya, tiada siapa yang perlu dipersalahkan di sebalik larangan ini. Baik pihak kerajaan selaku pembuat keputusan, mahupun pasukan keselamatan selaku agensi yang melaksanakan penguatkuasaan.

Rakyat marhaen juga tidak boleh dijadikan kambing hitam seratus peratus. Begitu juga dengan pihak sekolah, guru-guru mahupun pelajar yang didakwa menyumbang kepada peningkatan kes.

Isu ini bukan isu individu, tetapi isu sejagat yang perlu dipikul secara bersama.

Seperti mana kita meraikan kegembiraan Syawal bersama-sama sejak sekian lama, apa salahnya kita sekali lagi berkongsi ‘kesedihan’ untuk tidak pulang ke kampung bersama-sama.

Seperti mana kata tokoh pemikir Islam dari Indonesia, Buya Hamka, orang berakal sebenarnya hidup untuk masyarakatnya, bukan hidup atas dirinya sendiri.