fbpx
Penduduk kampung bergotong-royong membaiki jambatan gantung untuk kegunaan penduduk Kampung Rekoh, Rompin semalam.

‘Apa yang dirisaukan akhirnya terjadi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN – Kebimbangan penduduk mengenai tahap ke­selamatan di jambatan gantung Sungai Rekoh di sini akhirnya menjadi kenyataan dengan tragedi yang mengorbankan dua beradik pada 28 April lalu.

Dalam kejadian itu, Putri Rama Dhania Azahra Masari dan kakaknya, Dhenis Maulida Purti disahkan lemas selepas tercampak ke dalam sungai selepas motosikal yang ditunggang ibunya terbalik ketika melalui jambatan gantung berkenaan.

Penduduk kampung, Zuan Sah Ismail, 35, berkata, kemalangan maut tidak mustahil akan berlaku lagi selepas ini jika tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

Menurut Zuan, penduduk sudah lama diselubungi kebimba­ngan setiap kali melalui jamba­tan gantung Sungai Rekoh kerana keadaannya yang terlalu daif serta banyak kerosakan.

“Sebelum tragedi menimpa dua kanak-kanak malang itu, sudah banyak kejadian motosikal terbalik ketika melalui jambatan gantung berkenaan. Bagaimanapun, ini kali pertama membabitkan kematian.

“Malah, saya sendiri pernah terjatuh daripada motosikal ke­rana lantai jambatan yang tidak sempurna, namun bernasib baik hanya luka ringan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran (JKKK) Kampung Rekoh, Said Ibrahim berkata, lebih 100 penduduk terlibat dalam membaik pulih lantai dan pagar jambatan berkenaan semalam.

“Jambatan gantung sepanjang 85 meter ini dibina pada tahun 2006 bagi menggantikan jamba­tan yang rosak sebelum itu.

“Namun, pada tahun 2007, banjir besar berlaku dan menyebabkan struktur jambatan gantung ini juga rosak,” katanya.

Jelasnya, jambatan gantung itu adalah laluan utama penduduk untuk berulang-alik de­ngan kira-kira 200 motosikal me­laluinya setiap hari.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada kerajaan negeri supaya dibina jambatan konkrit untuk kemudahan penduduk kampung pada tahun 2008.

“Jika tidak ikut laluan ini, penduduk terpaksa melalui Bandar Melati untuk ke seberang yang jaraknya 70 kilometer berbanding hanya satu kilometer jika melalui jambatan gantung,” jelasnya.-K! ONLINE

POPULAR