fbpx

“Tolong jangan ambil padang kami”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian penduduk Kampung Ampar Tenang membantah penyerahan padang kawasan perumahan mereka kepada pemaju di Dengkil, semalam.

SEPANG – “Kami perlukan padang di kawasan ini. Tolonglah jangan ambil padang kami. Itulah rintihan penduduk Kampung Ampar Tenang, Dengkil di sini sebagai bantahan kepada syarikat pemaju perumahan kawasan itu yang didakwa mahu menyerahkan padang di kawasan terbabit kepada Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SKJT) Kampung Ampar Tenang, Datuk V. Gunalan berkata, tindakan pemaju disifatkan tidak wajar kerana padang berkenaan sudah wujud sekian lama dan dibuka serta diselenggara oleh penduduk estet yang tinggal di kawasan kampung berkenaan sebelum ini.

“Kawasan padang ini amat penting kepada semua pihak. Semua belia, remaja dan murid sekolah kawasan ini amat memerlukannya untuk beriadah dan menjalankan aktiviti,” katanya di sini semalam.

Katanya, penduduk dimaklumkan oleh pihak pemaju bahawa mereka akan menyerahkan padang berkenaan kepada MPSepang bagaimanapun cadangan itu ditolak penduduk dan PIBG sekolah.

“Meskipun sudah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan pihak pemaju, namun kami masih tidak dapat jawapan serta kata putus yang meyakinkan.

“Jika padang ini diserahkan kepada MPSepang, sekolah dan penduduk akan berhadapan kesukaran untuk menjalankan sebarang aktiviti. Pastinya kelulusan perlu diperoleh dahulu sebelum dapat menggunakan padang itu,” katanya.

Untuk rekod, Kampung Ampar Tenang yang dulunya adalah sebuah estet dibuka lebih 100 tahun dan kini menjadi lokasi kediaman lebih 180 keluarga.

Sementara itu, Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd. Hamid Hussein ketika dihubungi berkata, ia masih belum menerima sebarang pengesahan hak milik walaupun sebelum ini pemaju pernah memaklumkan berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, padang awam memang sepatutnya di bawah seliaan MPSepang kerana kawasan sekelilingnya banyak dibangunkan kawasan perumahan.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI