fbpx

Tak sempat merasa duit seludup dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bungkusan disyaki berisi dadah jenis syabu yang dirampas hasil penahanan dua lelaki di sekitar perairan Tanjung Piai, Pontian, Johor semalam.

JOHOR BAHRU – Maritim Malaysia (APMM) Johor merampas bungkusan dadah disyaki jenis syabu bernilai RM55,000 selepas menahan dua lelaki tempatan yang menaiki bot kayu di sekitar perairan Tanjung Piai semalam.

Pengarah APMM Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dua lelaki berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan dalam operasi yang dibuat sekitar 8.20 malam.

Katanya, bot ronda APMM menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah bot kayu yang dalam keadaan mencurigakan di kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika selatan Tanjung Piai.

“Penggeledahan ke atas bot yang dikendalikan dua lelaki tempatan itu telah membawa kepada penemuan satu bungkusan putih dadah disyaki jenis syabu seberat satu kilogram disembunyikan dalam bot kayu tersebut.

“Siasatan awal mendapati bekalan dadah itu dipercayai cuba diseludup keluar ke Indonesia. Kedua-dua individu yang ditahan itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Johor untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bungkusan dadah dan bot kayu yang digunakan suspek berkenaan turut dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Sungai Pulai, dekat sini.

Katanya, kedua-dua lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Meskipun bertugas lebih masa dalam bulan Ramadan, APMM sentiasa serius dalam melaksanakan tugasan bagi menjaga perairan negara daripada sebarang salah laku dan aktiviti jenayah.

“Sekiranya terdapat sebarang aduan mengenai jenayah maritim di perairan Johor, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian hotline 07-219 9404 yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI