fbpx
SAAD (kiri) dan Robiah memeriksa keadaan pakaian-pakaian yang disumbangkan oleh orang ramai sebelum digantung dan dipamerkan.

Lebih 100 helai pakaian diambil asnaf setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELANGKAH masuk ke dalam premis Infaqmall seolah-olah memasuki butik pakaian yang menampilkan busana menawan untuk semua peringkat usia. Ribuan pakaian digantung dan disusun rapi bagi memudahkan pengunjung memilih baju diingini, manakala di sudut lain terdapat pelbagai beg tangan, kasut dan aksesori.

Sebenarnya, semua pakaian dan barangan dipamerkan di premis berkeluasan kira-kira 56 meter persegi itu adalah sumbangan orang ramai untuk kegunaan asnaf setempat. Pengasas Infaqmall, Saad Yaacob, 65, dan isterinya Robiah Che Mat, 64, mengusahakan premis itu yang terletak di pekarangan Masjid Jamek Permatang Rambai, Penaga, Seberang Perai, Pulau Pinang sejak tiga tahun lalu.

Saad berkata, bantuan yang disediakan meliputi pelbagai kelengkapan terutamanya pakaian, kasut dan barangan keperluan hasil sumbangan orang ramai ke premis itu.

“Setakat ini, orang ramai tahu premis ini beroperasi sebagai pusat pengumpulan pakaian dan sesiapa sahaja yang mahu menderma boleh meletakkan pakaian mereka di sini.

“Kami menerima kira-kira 2,000 helai pakaian sebulan merangkumi baju, seluar, jubah dewasa, beg, baju kanak-kanak, kasut, barang keperluan bayi sama ada yang baharu dan terpakai, tetapi masih elok untuk digunakan.

“Tugas kami adalah mengasingkan semua sumbangan diterima yang kemudiannya akan disusun bagi memudahkan asnaf memilih barangan yang mereka perlukan.

“Kira-kira 18 sehingga 20 sukarelawan bertugas secara bergilir-gilir bagi memastikan premis ini terjaga dan teratur,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.

 

PELBAGAI jenis pakaian masih cantik dan elok sumbangan orang ramai boleh didapati di premis Infaqmall.

 

Ulasnya, tugas mengasingkan pakaian bukannya mudah kerana mereka perlu memastikan pakaian yang bakal dipamerkan masih elok dan bersih.

“Kebanyakan pakaian yang diterima masih boleh dipakai tetapi ada juga yang menghantar baju yang kurang sesuai untuk digunakan.

“Justeru, kita akan asingkan pakaian terbabit dan yang mana elok, kita akan gantung dan pamerkan supaya memudahkan pengunjung membuat pilihan, manakala yang kotor akan dicuci terlebih dahulu.

“Kebanyakan sukarelawan yang bertugas ialah suri rumah yang mempunyai masa lapang dan mereka akan membantu memilih, mengasingkan serta menggantung pakaian di premis ini,” katanya.

Saad berkata, secara purata lebih 100 helai pakaian diambil asnaf setiap hari berdasarkan penyangkut baju yang tinggal di luar premis.

“Kami susun dan tinggalkan pakaian di luar premis tanpa sebarang pengawasan supaya sesiapa saja boleh datang dan ambil pada bila-bila masa.

“Selain itu, kasut terpakai berharga RM10 sepasang turut dijual dan hasil jualan akan digunakan untuk membeli barangan keperluan asas seperti telur, gula, tepung, sardin dan minyak masak untuk disumbangkan kepada asnaf,” katanya.

 

 

INFAQMALL terletak di dalam kawasan Masjid Jamek Permatang Rambai, Penaga, Pulau PInang.

 

Bagaimanapun, bapa kepada tiga anak itu mengakui, operasi premis sedikit terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac tahun lalu, Infaqmall tidak beroperasi selama tiga bulan.

“Dalam waktu sukar begini, tidak dinafikan kami menerima banyak permohonan bantuan terutamanya barangan keperluan dapur.

“Kami bantu mana yang termampu supaya mereka dapat melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini dengan sabar,” katanya.
Saad berkata, jumlah asnaf yang datang mengambil pakaian dijangkakan meningkat menjelang Aidilfitri.

“Jumlah bantuan juga bertambah kerana ramai orang turut menghulurkan sumbangan sama ada dalam bentuk barangan dan wang ringgit.

 

BAHAGIAN luar premis Infaqmall boleh diakses sesiapa sahaja pada bila-bila masa untuk mendapatkan pakaian yang diperlukan.

“Kita juga sedang merancang untuk menjalankan program pemberian pakaian secara percuma di Kuala Muda sempena Aidilfitri ini,” katanya.

Sementara itu, Robiah berkata, premis beroperasi seperti biasa di bulan Ramadan dan orang ramai digalakkan untuk menyumbangkan pakaian atau apa saja barangan keperluan.

“Selain itu, baru-baru ini juga satu mesyuarat telah dijalankan bagi melantik ahli jawatankuasa yang akan bekerjasama bagi melicinkan pentadbiran Infaqmall.

“Terima kasih diucapkan kepada semua pihak atas sumbangan yang diberikan terutamanya pengurusan masjid yang juga banyak membantu dan menyokong usaha kami menguruskan premis ini.

“Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran pahala kepada semua individu yang membantu menerusi pelbagai platform sama ada wang ringgit, tenaga dan masa bagi memastikan premis ini terus beroperasi,” katanya.

ANTARA pakaian yang dipamerkan di Infaqmall.

 

 

Program dan aktiviti Infaqmall boleh diikuti menerusi laman Facebook Skuad Infaq Masjid Permatang Rambai Penaga atau hubungi Pengerusi Infaqmall, Zahir Jamaludin untuk mengajukan sebarang pertanyaan.

Salah seorang penerima bantuan yang hanya ingin dikenali sebagai Salmah, 45, berkata, dia mengambil pakaian percuma di premis terbabit selepas mengetahui mengenai premis ini menerusi media sosial.

“Saya juga pernah mengambil dua helai pakaian dewasa dan pakaian kanak-kanak untuk diberikan kepada jiran yang turut memerlukan.

“Walaupun lokasinya agak jauh memandangkan saya tinggal di Perai, tetapi memang berbaloi berkunjung ke premis ini kerana pakaian yang disediakan sangat elok dan bersih,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN