fbpx

K2

Selamat tinggal KRI Nanggala-402

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KRI Nanggala-402 merupakan salah satu daripada lima kapal selam yang dimiliki Tentera Indonesia bagi menjaga kedaulatan republik itu.

TINDAKAN aneh seorang budak lelaki yang merengek menghalang bapanya keluar bekerja seakan firasat bahawa bapanya akan pergi buat selama-lamanya. Video pilu yang tular di media sosial itu menunjukkan kanak-kanak tersebut sempat mengunci bapanya di dalam sebuah bilik.

Kanak-kanak itu merupakan anak kepada anggota tentera Indonesia, Leftenan Pertama Laut (P) Imam Adi iaitu salah seorang daripada 53 kru KRI Nanggala-402, kapal selam negara Garuda itu yang menjadi tumpuan dunia dengan berita menyayat hati baru-baru ini.

Tanggal 21 April lalu pada pukul 3 pagi, kapal selam tersebut telah meminta izin untuk menyelam bagi misi latihan penembakan torpedo sebelum dilaporkan terputus hubungan pada pukul 4.25 pagi hari yang sama sewaktu misi tersebut di perairan utara Bali.

Kapal selam itu dikatakan terputus hubungan ketika tenggelam pada kedalaman 700 meter (m) di dasar laut yang mana melebihi keupayaan aset itu untuk bertahan terhadap tekanan persekitaran.

Setelah hampir empat hari dilaporkan hilang, Panglima Tentera Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto mengumumkan bahawa semua kru kapal selam KRI Nanggala-402 sah telah terkorban pada Ahad lalu apabila kapal selam itu ditemui pecah tiga bahagian pada kedalaman 838m di perairan Bali.

GAMBAR kru kapal selam KRI Nanggala-402 yang dirakam di Dermaga Kapal Selam Komando Armada II, Surabaya, Jawa Timur pada 20 April 2019.

Sebelum ini, Tentera Indonesia (TNI) mengesahkan bekalan oksigen yang terdapat dalam kapal selam tersebut hanya dapat bertahan selama 72 jam dan berakhir pada Sabtu lalu.

Setelah itu, Hadi mengesahkan pertukaran status KRI Nanggala-402 daripada fasa sub-missed (kapal selam hilang) kepada fasa sub-sink (kapal selam karam) berikutan penemuan bukti-bukti seperti serpihan komponen, barang-barang dan tumpahan minyak.

Kapal selam berusia 43 tahun itu sebenarnya mampu beroperasi pada kedalaman laut 200 m sehingga maksimum 250 m, tetapi dikesan pada kedalaman antara 600 m sehingga 650 m sebelum hilang.

Ia juga sarat dengan 53 penumpang sedangkan kapasiti maksimum untuknya 40 anak kapal sahaja.

“Antara barangan yang dijumpai terapung ialah pelaras tabung torpedo, paip pendingin hawa, botol berwarna jingga yang digunakan untuk proses naik turun kapal selam, alas, span-span dan sejadah.

“Barangan ini tidak dimiliki oleh orang awam kerana tiada kapal yang melintas dalam kawasan sekitar 10 batu nautika dari lokasi serpihan ditemui,” kata Ketua Staf TNI Angkatan Laut, Laksamana Yudo Margono ketika sidang media baru-baru ini.

Operasi pencarian kapal itu mendapat bantuan antarabangsa dari Amerika Syarikat, Australia, Singapura dan India.

Kapal selam KRI Nanggala-402 merupakan sebuah kapal selam yang dibina pada tahun 1978.

Bangkai KRI Nanggala-402 disahkan selepas pasukan penyelamat menggunakan kenderaan kawalan jauh tanpa pemandu bawah air (ROV) yang dibekalkan Singapura, MV Swift untuk meninjau lokasi dasar laut berkenaan.

Kapal seberat 1,300 tan jenis 209 diesel elektrik itu ditemui terbelah menjadi tiga bahagian.

Pihak berkuasa berkata, banyak bahagian daripada kapal selam ditemui termasuk sauh dan pakaian keselamatan yang dipakai kru.

“KRI Nanggala-402 telah terbelah dan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu lambung kapal, buritan kapal dan bahagian utama dengan semua bahagian itu terpisah serta mempunyai kesan rekahan.

“Dengan rasa kesedihan yang mendalam, saya mengesahkan bahawa 53 orang anggota yang berada di dalamnya telah meninggal dunia,” tutur Yudo.

Terdahulu, pakar telah mengatakan bahawa kedalaman kapal selam itu ditemui sukar untuk mereka hidup bahkan membawa bekalan oksigen untuk tiga hari.

Tenggelam dengan kedalaman 838 m yang bersamaan tinggi Burj Khalifah di Dubai dan tekanan sangat kuat menyebabkan kapal hancur, begitu juga badan manusia.

Mungkin ada yang mengandaikan mengapa para kru tidak menyelam keluar saja dari kapal selam, Penganalisis Ketenteraan Institut Pengajian Keselamatan dan Strategik Indonesia, Khairul Fahmi menjelaskan kepada portal Kumparan, kapal selam memang direka tahan tekanan tinggi di dasar laut.

“Membuka pintu kapal selam adalah suatu langkah yang tidak mungkin akan diambil oleh kru. Jika pintu dibuka, air lagi banyak masuk ke dalam kapal selam dan berlaku kecelakaan dahsyat.

“Baru hendak buka pintu kecemasan pun sudah mengundang maut. Lagi pula pada kedalaman sebegitu dengan tekanan amat kuat yang boleh menghancurkan tubuh manusia, jadi mereka hanya mengharapkan keupayaan kapal selam itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo menyatakan kru-kru yang terkorban pada bulan Ramadan itu sebagai patriot terbaik Indonesia. Sambil menambah, semua rakyat Indonesia menyampaikan kesedihan mendalam atas kejadian tersebut terutama keluarga kru kapal itu.

Jenazah kru kapal selam Indonesia KRI Nanggala-402 akan dibawa ke Surabaya, Jawa Timur. Yudo berkata, proses evakuasi mangsa dan kaedahnya akan dikoordinasikan kemudian.

Menyentuh mengenai asal-usul kapal selam itu, KRI Nanggala-402 adalah kapal selam penyerang yang dibina pada 1978 dan diserahkan kepada Indonesia pada Oktober 1981.

Aset tersebut sebenarnya pernah dibaik pulih pada 1989 di Jerman dan kemudian pada 2012 di Korea Selatan dengan strukturnya diganti, begitu juga sistem penggerak, sonar dan senjata dinaik taraf.

ANTARAbarang yang ditemui pasukan mencari dan menyelamat KRI Nanggala-402 milik kru kapal selam tersebut.

Kapal buatan Jerman itu adalah salah satu daripada lima kapal selam yang dimiliki oleh Indonesia. Kejadian ini adalah kali pertama Indonesia kehilangan salah satu kapal selamnya.

Pun begitu, tragedi kapal selam yang hilang atau karam bukanlah kali pertama berlaku dalam sejarah dunia.

Pada 12 Ogos 2000, kapal selam Kursk berteknologi peluru berpandu milik Rusia pernah tenggelam semasa 118 orang kru sedang melakukan latihan ketenteraan.

Kesemua kru dilaporkan terkorban dan peristiwa itu menjadi kemalangan maritim paling buruk pernah direkodkan dalam sejarah.

Kursk mengangkat sauh dari Rusia pada 10 Ogos 2000 dan dua hari selepas itu tiba di perairan Barents untuk melakukan latihan menembak torpedo.

Letupan berlaku ketika kapal tersebut mahu memulakan latihan menembak sehingga tenggelam ke dasar laut.

Selain itu, pada Mei 2003 turut mencatat sejarah hitam apabila seramai 70 orang pegawai Tentera Laut China dan kru terbunuh dipercayai lemas dalam satu insiden sebuah kapal selam kelas Ming yang sedang melakukan latihan ketenteraan di timur Kepulauan Neichangshan.

Namun, tiada maklumat jelas mengenai kejadian sebenar yang berlaku kepada kapal selam berkuasa diesel itu.

Kerajaan China menyatakan terdapat masalah mekanikal yang menyebabkan insiden itu berlaku.

Pada pertengahan November 2017 pula, dunia dikejutkan sekali lagi dengan insiden kapal selam milik tentera Argentina yang hilang di Atlantik Selatan pada kedalaman 900 m dan 400 kilometer dari pantai Patagonia.

Kapal selam buatan Jerman yang menggunakan kuasa diesel elektrik itu meletup kerana masalah teknikal dan mengorban 44 orang kru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI