fbpx

Lelaki bujang separuh umur berisiko tinggi hidap kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lelaki yang hidup dalam kesunyian adalah lebih berisiko untuk menghidap kanser berbanding mereka yang mempunyai hubungan istimewa. - – Shutterstock/Tzido Sun/Daily Mail

HELSINKI, FINLAND – Kajian terbaharu menunjukkan lelaki separuh umur yang bujang dan kesunyian lebih berisiko menghidap penyakit kanser berbanding mereka yang mempunyai hubungan istimewa serta dikelilingi oleh orang lain, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Satu pasukan penyelidik dari Universiti Finland Timur menjalankan kajian tersebut ke atas seramai 2,570 lelaki separuh umur bagi memantau tahap kesihatan dan kadar kematian mereka dari 1980-an sehingga kini.

Dalam kajian tersebut, hubung kait dengan risiko kanser diperhatikan tanpa mengira usia, status sosio ekonomi, gaya hidup, kualiti tidur, gejala kemurungan, indeks jisim badan, penyakit jantung dan faktor-faktor berisiko lain.

Hasil pemerhatian mendapati sebanyak 25 peratus daripada mereka yang mengambil bahagian dalam kajian menghidap kanser selain 11 peratus berada di tahap akhir penyakit tersebut.

Kematian akibat kanser didapati adalah lebih tinggi dalam kalangan pesakit yang tidak berkahwin, duda atau bercerai awal.

Situasi ini menunjukkan bahawa terdapat hubung kait jelas antara kesunyian dengan peningkatan risiko kanser.

Kajian menunjukkan bahawa lelaki yang hidup dalam kesunyian berupaya meningkatkan risiko dijangkiti kanser kira-kira 10 peratus.

“Penemuan tersebut menyokong idea bahawa isu ini perlu diberi perhatian,” ujar penyelidik projek, Siiri-Liisi Kraav.

Menurut penyelidik, kesunyian dan status hubungan perlu menjadi perkara penting yang diberi perhatian bagi menjaga kesihatan dan mencegah penyakit.

Bagaimanapun, meskipun kesunyian dicadangkan sebagai salah satu risiko kepada kematian akibat kanser, hubung kait antara kesunyian, pengasingan sosial dan kanser adalah sukar untuk difahami.

“Kesedaran terhadap kesan-kesan kesunyian semakin meningkat. Justeru, amat penting untuk mengkaji dengan lebih lanjut mengenai mekanisme penyebab kesunyian yang mengakibatkan kesan buruk kepada kesihatan.

“Maklumat tersebut membolehkan kita membantu mengurangkan kesunyian dan kemudaratan yang menjadi punca selain mencari cara yang optimum bagi menyasarkan langkah pencegahan,” ujar penulis penyelidikan tersebut. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI