fbpx

Kebenaran solat sunat Aidilfitri diumum selepas dapat perkenan Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kebenaran untuk mengadakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di Wilayah Persekutuan akan dimaklumkan dalam masa terdekat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, Jawi akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh terdekat selepas mendapat perkenan baginda.

“Jawi telah mengangkat permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan mengenai kebenaran menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau-surau Jumaat.

Mohd Ajib (dua dari kanan) menyerahkan bantuan keperluan harian kepada sebahagian penerima menerusi Program Kembara Al-Amin Nuzul Al-Quran, hari ini. /FOTO SUBKHI SUDARJI

“Sebaik sahaja mendapat perkenan, Jawi akan mengadakan sidang akhbar secara rasmi,” katanya selepas majlis Program Kembara Al-Amin Nuzul Al-Quran bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad al-Bakri di Surau Putra Al-Amin, di sini hari ini.

Beliau berkata, pengumuman di peringkat kebangsaan  akan dibuat oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak RM9.23 juta diperuntukkan Jawi bagi pelaksanaan program mengimarahkan masjid-masjid dan surau sempena bulan Ramadan di Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, peruntukan itu merangkumi 89 masjid, 123 surau solat Jumaat dan 578 surau.

“Bagi setiap masjid, Jawi memperuntukan RM15,000 manakala surau solat Jumaat (RM12,500) dan surau pula sebanyak RM11,000,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI