fbpx

Saintis reka plastik selamat dimakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saintis dari Rusia dan India mencipta plastik yang diperbuat daripada alga laut yang selamat untuk dimakan bersama makanan. - Peter Castleton

MOSCOW – Pasukan saintis dari India dan Rusia mencipta beg plastik makanan yang boleh dimakan bagi membungkus produk seperti roti, daging ayam dan lembu serta makanan laut, lapor rangkaian berita Good News Network kelmarin.

Plastik pembungkus itu direka untuk menggantikan plastik konvensional yang merupakan salah satu bahan paling sukar dikitar semula di planet ini. Rekaan baharu tersebut menggunakan bahan semula jadi yang selamat untuk alam sekitar dan manusia.

Penyelidikan itu disiarkan dalam penerbitan Journal of Food Engineering. Menurutnya, plastik boleh kitar semula dan boleh dimakan itu diperbuat daripada bahan aktif yang terdapat dalam rumpai laut.

“Sebatian biopolimer natrium alginate dalam rumpai laut mempunyai sifat seperti plastik. Kelebihan utama natrium alginat adalah ia berfungsi seperti gel-cecair dalam medium berair,” kata penyelidik kanan makmal sintesis organik Universiti Persekutuan Ural yang juga penulis bersama kajian tersebut, Rammohan Aluru.

Menurut penyelidik kajian, molekul alginat berkait rapat dengan asid ferulat yang mempunyai sifat antioksida mampu memanjangkan hayat produk.

“Makanan kekal segar lebih lama kerana komponen antioksida melambatkan proses pengoksidaan,” kata profesor Jabatan Kimia Organik dan Biomolekul Universiti Persekutuan Ural, Grigory Zyryanov.

Selain itu, plastik mesra alam ini juga bersifat larut air hampir 90% dalam tempoh 24 jam.

Menurut penulis kajian, tiada alatan khas yang diperlukan dalam proses pembuatan plastik boleh dimakan itu dan ia boleh dihasilkan oleh mana-mana kilang industri produk makanan dan pengeluar plastik.

“Plastik alga ini juga boleh dihasilkan oleh pengeluar sektor polimer. Syarat utama adalah ia perlu memenuhi piawaian pengeluar makanan.

“Ia cukup mudah dihasilkan terutama dengan jumlah alga di laut-laut berdekatan yang tidak akan pernah habis,” kata Zyryanov.

Turut serta dalam kajian tersebut adalah saintis dari Universiti Sri Venkateswara dan Sri Padmavati Mahila Viswavidyalayam serta disokong oleh Suruhanjaya Geran Universiti dengan Institut Pusat Kejuruteraan dan Teknologi Plastik di India. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI