fbpx

Ayah sudah tiada harapan akibat Covid-19 – Azlan Typewriter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZLAN

PETALING JAYA – Penyanyi Azlan Typewriter mendedahkan bapanya, Salehudin, 60-an kini berada dalam keadaan kritikal dan sudah tiada harapan untuk sembuh selepas dijangkiti virus Covid-19 sejak dua minggu lalu.

Jelas Azlan, bapanya kini ditempatkan di Hospital Serdang, Selangor. Sejak dimasukkan ke hospital pihak keluarga tidak dapat menghubungi bapanya, sebaliknya hanya menerima perkembangan kesihatan menerusi doktor yang merawat.

“Menurut kata doktor, jika tidak hari ini (semalam) atau esok (hari ini) adalah hari terakhir ayah. Doktor memberitahu, ayah sudah tidak dapat diselamatkan kerada keadaannya yang kritikal ditambah dengan pelbagai komplikasi penyakit lain.

“Ayah memang ada masalah buah pinggang dan buat dialisis. Sudah kuasa Allah SWT, jika itu sudah tertulis perjalanannya saya kena reda. Sebagai anak pula, saya harus bersedia menerima kemungkinan itu. Walaupun ayah tidak menjaga saya dari kecil kerana dibesarkan oleh bapa tiri, tetapi hubungan kami rapat,” ujar Azlan ketika ditemui pada majlis Iftar Indigital Music semalam.

Tambah Azlan, dia sempat bertemu dengan bapanya kira-kira tiga minggu lalu dan itu adalah pertemuan terakhir mereka sebelum bapanya dimasukkan ke hospital dan kritikal selama dua minggu,

“Memang keluarga langsung tidak dapat bercakap dengan ayah sejak dimasukkan ke hospital. Hanya doktor akan memberitahu perkembangan kesihatan ayah kepada ibu tiri,” jelas Azlan.

Meskipun masih terkejut dengan berita tersebut, penyanyi lagu Jangan Khianati Aku itu tetap bersyukur kerana adiknya yang tinggal serumah dengan bapanya disahkan bebas daripada virus Covid-19.

“Selalu dengar orang terkena Covid-19, tetapi apabila nampak depan mata sendiri dan yang dijangkiti itu adalah ahli keluarga memang perasaannya berbeza. Satu keajaiban adalah adik saya yang menjaga bapa dan tinggal serumah dengannya disahkan negatif.

“Jadi, bagi saya virus Covid-19 tidak boleh diramal, sesiapa sahaja boleh terkena. Saya sendiri mengambil langkah berjaga-jaga dengan kerap melakukan ujian calitan dan setakat ini saya negatif,” kata Azlan.

Dalam pada itu, Azlan yang kini sibuk dengan perniagaan baju Melayu sempena Ramadan menasihatkan orang ramai untuk lebih menjaga kesihatan diri.

“Sejak ada Covid-19, saya kini lebih banyak minum air panas berbanding air sejuk mengikut saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Saya pula berjumpa dengan ramai orang, jadi memang harus lebih berjaga-jaga kerana Covid-19 tidak mengenal mangsa,” ujar Azlan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN