fbpx

Curi burung untuk tukar dengan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noorzainy melihat sebahagian burung yang dirampas pada sidang akhbar di IPD SPU di Kepala Batas hari ini.

SEBERANG PERAI – Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tujuh kes kegiatan pecah rumah dan pejabat selepas tujuh lelaki dicekup dalam dua serbuan di sekitar Butterworth di sini Khamis lalu.

Lima suspek ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi di sebuah rumah di Kampung Perlis, manakala dua lagi ditahan dalam operasi di sebuah rumah di Kampung Baru Mak Mandin.

Suspek berkenaan berusia di antara 21 hingga 49 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan mesin bersama tujuh ekor burung peliharaan yang dicuri suspek dalam kegiatan itu.

“Sebanyak 25 buah mesin pelbagai jenis dirampas seperti mesin penebuk lubang, pemotong pokok, pemotong rumput, pencanai, penyembur air dan pemampat yang dianggarkan bernilai RM10,000.

“Tujuh ekor burung yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM10,000 iaitu dua ekor jenis Sun Conure, (seekor) Black Capped Lory, (seekor) Timneh African Grey Parrot, (seekor) Rainbow Lorikeet dan (dua ekor) merpati yang dilaporkan hilang turut dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU, Kepala Batas di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati, enam suspek melakukan kegiatan itu dengan menyasarkan rumah dan pejabat sebelum menjual barang yang dicuri kepada suspek pertama berusia 37 tahun yang juga dipercayai ketua mereka.

“Ini kerana suspek pertama merupakan pengedar dadah dan suspek lain menukar barang yang dicuri mereka termasuklah burung-burung tersebut seperti sistem barter untuk mendapatkan bekalan dadah.

“Keenam-enam suspek juga merupakan orang bawahan suspek pertama dan mereka turut membantu menjual dadah,” katanya lagi.

Noorzainy berkata, kesemua suspek yang masing-masing mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah itu direman selama seminggu sehingga Khamis depan bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI