fbpx

[VIDEO] Wanita maut kereta dirempuh dari belakang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar kemalangan di Lebuh Raya Persekutuan dekat Kilometer 32.9 menghala ke ibu negara semalam yang mengakibatkan kematian seorang wanita.

PETALING JAYA – Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Persekutuan dekat Kilometer 32.9 menghala ke ibu negara semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu masing-masing sebuah kereta jenis Perodua Bezza dan Perodua Azia.

“Sewaktu kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, kereta jenis Perodua Axia yang dipandu oleh seorang wanita berusia 33 tahun di lorong tengah telah dirempuh dari belakang oleh kereta Perodua Bezza yang datang dari lorong paling kanan.

“Pemandu Perodua Bezza yang secara tiba-tiba bertukar lorong ke kiri dalam keadaan laju telah merempuh bahagian belakang kereta wanita berkenaan mengakibatkan ia hilang kawalan dan terbalik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fakhrudin, akibat pelanggaran itu, wanita berkenaan yang memandu seorang diri telah mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan.

“Kira-kira pukul 3.35 petang hari yang sama, kami telah dimaklumkan oleh pihak PPUM bahawa mangsa yang parah disahkan telah meninggal dunia namun lelaki yang memandu kereta Perodua Bezza itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil ujan air kencing dan ujian pernafasan ke atas pemandu lelaki berusia 34 tahun itu didapati negatif daripada sebarang bahan terlarang serta alkohol,” ujarnya.

Tegas Mohamad Fakhrudin, siasatan berhubung kemalangan tersebut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan berhubung kejadian masih dilakukan dan suspek telah ditahan serta diambil keterangan namun dia kini telah dilepaskan dengan jaminan di atas faktor kesihatan,” jelas beliau.

Terdahulu, satu klip video kamera papan pemuka telah tular di laman Twitter semalam memaparkan tindakan pemandu Perodua Bezza yang memecut laju sebelum merempuh kenderaan lain.

Perkongsian video berkenaan menerima kritikan dan kecaman daripada netizen yang menyifatkan pemanduan individu itu sebagai mementingkan diri sendiri dan tidak sepatutnya dibenarkan untuk memandu di atas jalan raya.

Tambah menyayat hati, netizen yang mengaku mengenali wanita berkenaan turut mendakwa bahawa mangsa yang maut baharu sahaja kembali bekerja apabila tamat tempoh berpantang selepas melahirkan anak kedua beberapa bulan lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI