fbpx

Tanpa rasa segan, pelakon buat ucapan raya – video judi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang dimuat naik ke laman YouTube memaparkan lima pelakon menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya pada babak kedua video itu

PETALING JAYA – Belum reda dengan dua video mempromosikan aktiviti perjudian secara dalam talian bertemakan Hari Raya, kini muncul pula video baharu beserta dengan ucapan hari raya oleh para pelakon video yang sama.

Video berdurasi 3 minit 18 saat itu memaparkan lima pelakon terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita mengucapkan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin’ pada babak kedua sebaik selesai babak lakonan dan nyanyian lagu.

Selesai ucapan, video turut menyaksikan kru-kru produksi sedang bertungkus lumus menyiapkan video berkenaan dipercayai di sebuah kawasan perkampungan di Selangor.

Video yang diberi tajuk ‘Iklan Raya Judi/Iklan Raya 2021’ itu juga telah dimuat naik ke laman YouTube kira-kira 22 jam lalu dan telah mendapat tontonan seramai 24,000 orang.

Semakan Kosmo! hari ini di laman sosial Facebook dan beberapa laman lain mendapati salah satu video yang terawal telah dikongsi oleh pelbagai page dan mendapat kecaman daripada netizen.

Setakat ini, video berkenaan masih boleh dilihat oleh para pelayar dan belum dinyah aktifkan.

Terdahulu, satu iklan Hari Raya berdurasi 2 minit 1 saat tular di laman sosial hingga mengundang kecaman dan kemarahan netizen beragama Islam apabila mengeluarkan video mempromosikan aktiviti perjudian dengan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, polis akhirnya berjaya memberkas lapan individu termasuk seorang produser atau pengarah video yang disyaki terlibat dalam video terbabit.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani hari ini berkata, selain produser, mereka yang ditahan merupakan pelakon, ejen artis, juru video atau kamera yang terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI