fbpx

MVIA optimis jadikan Malaysia hab vape antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

PETALING JAYA- Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) optimis menjadikan negara ini sebagai hab vape antarabangsa susulan potensi industri itu yang dilihat berupaya menjana pulangan pendapatan kepada negara.

Presidennya, Rizani Zakaria berkata, potensi itu dapat diterjemahkan menerusi perkembangan pesat industri vape di Malaysia termasuklah pertambahan pengilang dan peruncit.

Menurut beliau, industri rokok elektronik itu turut dianggarkan bernilai kira-kira RM2.27 bilion berdasarkan laporan Dewan Perniagaan Vape Malaysia.

“Sambutan terhadap produk vape berkembang begitu pantas dengan mendapat permintaan memberangsangkan di peringkat antarabangsa termasuklah di United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat.

“Penerimaan pasaran luar itu memberi gambaran bahawa industri vape Malaysia berada di landasan tepat dan berpotensi menarik pelaburan besar kepada negara,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Rizani

Rizani menjelaskan, kewujudan hab vape antarabangsa bukan sahaja menyumbang pendapatan cukai negara malah mencipta peluang pekerjaan menerusi perkembangan industri kecil sederhana (IKS) terlibat.

Susulan itu, dalam merealisasikan hasrat tersebut, Rizani berharap kerajaan dapat melaksanakan beberapa mekanisma baharu khususnya melibatkan peraturan serta kawal selia produk vape.

“Antara yang perlu diberi tumpuan melibatkan kawal selia kerajaan terhadap produk itu memandangkan saiz industri yang besar selain dijangka  terus berkembang pada masa depan.

“Berdasarkan tinjauan yang dijalankan MVIA bersama syarikat penyelidik, hampir 80 peratus rakyat Malaysia menyokong kerajaan menjalankan kawal selia industri manakala 76 peratus lagi bersetuju ia mampu menjana pendapatan negara,” jelasnya.

Rizani memberitahu, keadaan itu menunjukkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap industri berkenaan lebih-lebih lagi dalam menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Dalam pada itu, Rizani juga mencadangkan kerajaan untuk meneliti semula pelaksanaan cukai eksais ke atas produk vape khususnya cecair vape e-nikotin.

“Buat masa ini, cukai eksais ke atas produk vape hanya meliputi sebahagian sahaja pasaran berikutan tidak melibatkan cecair e-nikotin yang merupakan majoriti pilihan pengguna.

“Menerusi Belanjawan 2021, duti eksais hanya dikenakan kepada peranti vape dan e-cecair yang tidak mengandungi nikotin sahaja,” katanya.

Kawalan perlu diperketatkan untuk mengelakkan daripada pelanggan membeli produk vape tiruan di pasaran. -Gambar hiasan

Jelasnya, pelaksanaan cukai berkenaan diharapkan dapat dipertimbangkan berikutan hampir 97 peratus produk di dalam pasaran mengandungi nikotin.

“Struktur percukaian itu perlu dipertimbangkan semula kerana tidak mengambil kira keadaan semasa industri di mana kebanyakan produk terjual tidak termasuk dalam struktur percukaian eksesais dan pada masa yang sama tiada peraturan untuk kawal selia produk,” ujarnya.

Rizani menambah, kawal selia terbabit bukan sahaja melibatkan produk tetapi semua peringkat termasuklah kilang, peniaga, pengeluar dan jualan online.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai langkah menjadikan industri vape sah dan terkawal di sisi undang-undang, Rizani berkata, ia perlu dikuatkuasakan segera.

“Skala industri vape begitu besar dengan anggaran 3,000 perniagaan selain 1.1 juta pengguna rokok elektronik itu. Jika tiada kawalan, ia boleh membahayakan pengguna sekiranya ada produk tiruan.

“Memang ada keperluan untuk memperkenalkan peraturan dan kawal selia bagi memastikan industri terkawal daripada sudut pengeluaran serta pemasaran,” jelasnya.

Susulan itu, MVIA bersedia berunding dengan kerajaan bagi berkongsikan maklumat terkini dalam usaha merealisasikan hasrat menjadikan industri itu sebagai bertaraf antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI