fbpx

Lelaki Nigeria mengaku tidak salah tipu guru besar lebih RM140,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh NwaokorieChikezi ketika dibawa di Mahkamah Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

HULU SELANGOR – Seorang pelajar lelaki warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini atas 24 pertuduhan menipu seorang guru besar lebih RM140,000 berhubung tuntutan harta pusaka RM2.4 juta yang tidak wujud.

Tertuduh NwaokorieChikezi Patrick , 41, yang merupakan pelajar Diploma Pelancongan sebuah kolej swasta membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-24, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa telah menipu seorang guru besar wanita berusia 59 tahun dengan memperdaya memasukkan wang sebanyak RM141, 262 dalam akaun bank milik seorang wanita melalui pindahan wang dalam talian.

Wang itu dipindahkan untuk tujuan tuntutan harta pusaka bapa tertuduh bernilai RM2.4 juta yang tidak wujud yang mana mangsa tidak akan berbuat sedemikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah di sini antara 4 Februari hingga 3 Mac lalu yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama seksyen 34 kanun yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan juga hendaklah dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Yong Ching Hong menawarkan RM10,000 bagi setiap satu pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan memandangkan tertuduh merupakan warga asing.

Bagaimanapun peguam M.Tharuma Ratnam yang mewakili tertuduh memohon jaminan yang rendah dikenakan ke atas anak guamnya kerana kes ini melibatkan mangsa dan modus operandi yang sama.

“Selain itu, tertuduh telah berkahwin dengan rakyat Malaysia dan mempunyai dua anak. Tertuduh juga memberi kerjasama yang baik dengan pihak polis,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Hakim Nurul Mardhiah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Ini bermakna tertuduh perlu membayar sebanyak RM72,000 bagi 24 pertuduhan. Tarikh 4 Jun ditetapkan bagi sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI