fbpx
ROSHAN ISAAC

Langkah berani Roshan Isaac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERSEMUKA dengan jejaka tinggi lampai berkulit hitam manis itu, tiada yang istimewa tentang dirinya. Bagaimanapun,perasaan tersebut berbeza saat pertama kali mendengar lontaran vokalnya menerusi single pertama berjudul Kesilapan Terakhir menerusi YouTube mudah mengujakan penulis yang sejenak mengagumi bakat miliknya.

Paling menakjubkan, walaupun berbangsa India, suara dan penyampain sebutan bahasa Melayunya menerusi nukilan begitu sempurna. Jika tidak tahu siapa gerangan di sebalik lontaran lirik ciptaan bersama komposer Adam Armin, Adly Kiddy, Yusuff Khan, pendengar pasti menyangka lagu berkenaan didendangkan penyanyi Melayu. Rakaman semula Bercerita lanjut, pemilik nama sebenar Roshan Isaac memberitahu, tidak pernah terfikir, hobi suka sukanya akan sampai hingga ke tahap ini.

“Jujurnya, saya langsung tidak pernah terfikir akan sampai hingga ke tahap ini. Apatah lagi bergelar penyanyi dan mempunyai single selain bernaung bawah label rakaman terkenal tanah air.
“Ini semua bagaikan mimpi bagi saya. Saya bersyukur rezeki dalam bidang nyanyian dipermudahkan tuhan,” katanya membuka bicara bersama HibGlam dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Tambah Roshan, minatnya dalam bidang nyanyian hadir sejak kecil memandangkan ibunya juga aktif dengan aktiviti kesenian dan sering menjayakan persembahan kebudayaan.

Jelas Roshan, 24, sebelum bergelar anak seni dan menandatangani kontrak perjanjian bersama label Suria Records (SRC) bermula awal tahun ini, dia aktif menyanyikan lagu saduran (cover) pelbagai jenis lagu yang dimuat naik dalam saluran YouTubenya.

ROSHAN memasang cita-cita untuk menyanyi atau berkolaboratif dengan M. Nasir suatu hari nanti.

Single kedua

“Saya minat dan gemar merakam semula lagu-lagu dendangan artis lain tanpa mengira genre, termasuk lagu-lagu daripada penyanyi Indonesia.

“Tetapi, kalau ditanya siapa artis berbangsa Melayu yang diminati dan menjadi idola, saya memilih Hafiz Shuib. Lagu-lagunya sering menjadi pilihan saya, terutama single Awan Nano,” ujarnya.

Tambah Roshan yang merupakan eksekutif akaun sepenuh masa di sebuah syarikat swasta terkemuka di ibu negara, dia perlu bijak membahagikan masa antara nyanyian dan kerja hakiki.

Bercerita mengenai perancangan karier seninya, Roshan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada syarikat pengurusan memandangkan banyak rencana yang dirancang terpaksa ditunda ekoran pandemik.

“Buat masa sekarang saya dan pihak pengurusan masih giat mempromosikan single pertama yang baharu menemui pendengar pada pertengahan Mac lalu.

“Jika tiada aral melintang, usai Aidilfitri nanti saya akan hadir dengan sebuah lagi lagu bergenre pop sebagai single kedua,” katanya yang mengimpikan untuk berkolaborasi bersama komposer terkenal Datuk M. Nasir satu hari nanti.

Hingga kini, muzik video Kesilapan Terakhir yang diluncurkan 16 Mac lalu mendapat reaksi positif pendengar dengan lebih tiga ribu tontonan dalam YouTube.

BERMULA dengan hobi, Roshan Isaac kini bergelar penyanyi.

BERITA BERKAITAN