fbpx

AIM bantu Sharifah bangkit dalam perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sharifah Nurul Shahida Syed Abd. Rahman dan Zamri Halid menunjukkan produk keluaran mereka, Pekasam Viral Shazam.

TAIPING – Pernah mengusahakan katering, namun mengalami kerugian akibat wabak Covid-19, Sharifah Nurul Shahida Syed Abdul Rahman bangkit dengan perniagaan pekasam hasil bantuan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Menurut wanita berusia 36 tahun itu, dia menceburi perniagaan katering sebelum ini dengan modal pinjaman daripada AIM sebanyak RM2,000 dan perniagaannya ketika itu berkembang sehingga mampu menyediakan tempahan untuk majlis sehingga 7,000 orang.

Bagaimanapun katanya, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19, perniagaan katering tersebut terjejas kerana tiada tempahan.

“Ketika itu saya memikirkan cara untuk menyelamatkan perniagaan katering yang terjejas. Tanpa disangka,  suami, Zamri Halid, 46, mencetuskan ilham ketika sedang makan nasi berlauk pekasam yang saya buat.

“Suami menyarankan agar lauk pekasam yang sedang dijamah itu dikomersialkan sebagai perniagaan baharu.

“Keesokannya saya terus memulakan langkah mempromosikan pekasam daging secara langsung dalam platform media sosial Facebook.

“Alhamdulillah, kini perniagaan saya semakin berkembang dan mempunyai kilang memproses pekasam di Taman Kamunting Mutiara,” katanya ketika ditemui di sini.

Bagi memastikan kebersihan, keselamatan pemprosesan makanan serta mendapatkan keyakinan penggemar pekasam beliau, Sharifah sedang dalam proses untuk mendapatkan pensijilan Halal

bagi kilangnya menerusi bantuan dan bimbingan latihan yang disediakan oleh Unit Pembangunan Usahawan AIM.

Jenama Pekasam Viral Shazam mempunyai enam jenis pekasam iaitu daging,  telur, sotong, perut lembu, ayam, ikan gelama dan ikan kembung.

Pekasam daging, gelama, kembung dan ayam mendapat permintaan paling tinggi di pasaran dalam negara manakala pekasam ikan gelama dan telur sotong pula mendapat permintaan untuk pasaran di luar negara iaitu Australia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

“Untuk pasaran di Australia, saya mempunyai dua ejen iaitu di Melbourne dan Victoria dengan penghantaran melalui perkhimatan kurier.

“Saya mempunyai 350 stokis dan ada di antara ejen atau stokis saya mendapat pendapatan sehingga RM19,000 sebulan,” kata Sharifah.

Menurut Sharifah, dia memerlukan sehingga 3,000 kilogram daging jenis round steak sebulan untuk membuat pekasam daging selain 200 kilogram telur, 500 kilogram ikan gelama dan 200 kilogram ikan gelama, mengikut tempahan.

“Ikan kembung dan ikan gelama yang saya gunakan adalah ikan yang segar dan bekalan ini saya ambil sendiri di pelantar ikan daripada nelayan yang baru mendarat,” katanya.

Mengenai pemasaran, Sharifah berkata, beliau menggunakan media sosial sebagai platform untuk mempromosikan produknya.

“Saya sering membuat promosi produk saya secara  langsung di Facebook kami iaitu Pekasam Viral Shazam. Bermula daripada memilih ikan segar di pelantar jeti nelayan, memproses membuat pekasam dan menikmati juadah hidangan makanan berasaskan pekasam, cara ini jarang dilakukan oleh pemain dalam industri ini,” katanya.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan pekasam Shazam, silalah hubungi Sharifah di talian 012-456 7467.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI