fbpx
DR. JAMAL (kiri) menyampaikan Anugerah Angels Region kepada Dr. Feisul pada majlis di Taiping, Perak baru-baru ini.

Taiping terima anugerah, paling cemerlang tangani strok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAIPING telah mencipta sejarah apabila menjadi kawasan pertama di negara ini yang diberikan Anugerah ‘Angels Region’ berkaitan kecemerlangan komitmen penjagaan strok.

Ia sekali gus satu kejayaan penting dalam usaha berterusan negara memperkukuh penjagaan pesakit strok serta meningkatkan hasil rawatan pesakit. Untuk makluman, Anugerah Angels Region disampaikan oleh Angels Initiative dengan kerjasama Organisasi Strok Sedunia (WSO).

Ia bertujuan mengiktiraf kerjasama cemerlang antara hospital, perkhidmatan kecemasan, pihak berkuasa tempatan dan institusi pendidikan untuk menyampaikan rawatan lebih baik kepada pesakit strok.

Pensijilan Angels Region itu telah dianugerahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perak sebagai pengiktirafan terhadap penyelarasan luar biasa dan sinergi berkesan antara Hospital Taiping, Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS), Pejabat Pendidikan Daerah LMS dan Pejabat Kemajuan Masyarakat (Kemas) Taiping.

Ketua Jabatan Perubatan, Boehringer Ingelheim Malaysia, Singapura dan Indonesia, Dr. Jamal Malik berkata, strok masih menjadi salah satu punca utama kematian serta kecacatan di Malaysia dan dianggar 41,000 pesakit strok dimasukkan ke hospital kerajaan saban tahun.

Ujarnya, situasi ini jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh sistem penjagaan pesakit strok yang lebih baik dan bersepadu di seluruh negara.

“Di sebalik setiap angka itu ada seorang individu, sebuah keluarga dan komuniti yang terkesan akibat strok. Angels Initiative diwujudkan bagi memperkasa hospital untuk bertindak pantas dan berkesan, kerana setiap minit sangat berharga.

“Rawatan yang tepat pada masanya serta berkualiti tinggi boleh menjadi penentu antara pemulihan dan kecacatan seumur hidup,” kata dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Dalam majlis sama, Hospital Taiping iaitu sebuah hospital pakar dalam kluster hospital Utara Perak turut menerima dua pengiktirafan berprestij iaitu Anugerah Angels oleh WSO bagi Suku Kedua 2025 dengan Status Platinum serta Anugerah Angels bagi Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) bagi Suku Kedua 2025 dengan Status Diamond. Anugerah itu diberikan bagi mengiktiraf komitmen Hospital Taiping dalam menyediakan rawatan strok yang berkualiti tinggi dan tepat pada masanya.

Menurut Dr. Jamal, pengiktirafan yang diterima oleh Taiping membuktikan apa yang boleh dicapai apabila hospital, profesional kesihatan dan rakan strategik berganding bahu dengan matlamat sama iaitu memberi setiap pesakit strok peluang terbaik untuk terus hidup dan pulih.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pihak di Taiping atas komitmen dan kerjasama yang membawa kepada kejayaan ini,” ujarnya.

Taiping juga telah berjaya melepasi sasaran berasaskan populasi bagi kempen FAST Heroes iaitu salah satu kriteria utama bagi penganugerahan Angels Region.

Diiktiraf oleh WSO, FAST Heroes adalah program berasaskan sekolah direka untuk memperkasa kanak-kanak agar mereka dapat berkongsi ilmu strok dengan ibu bapa serta datuk nenek bagi membantu meningkatkan kesedaran awam.

Bagi mengiktiraf penyertaan mereka, sebanyak 14 organisasi dan institusi pendidikan di Taiping telah menerima sijil kempen FAST Heroes termasuk Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang dan Selama (LMS), Pejabat Pendidikan Daerah LMS, Pejabat Kemas Taiping serta sebuah sekolah kebangsaan, tiga tadika swasta dan 7 tadika Kemas.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr. Feisul Idzwan Mustapha berkata, pihaknya amat berbangga kerana Perak (menerusi Taiping) telah diiktiraf sebagai ‘Angels Region‘ pertama di Malaysia.

“Pengiktirafan ini mencerminkan kemajuan yang telah dicapai dalam memperkukuhkan sistem penjagaan pesakit strok,” katanya.

Sesebuah kawasan layak diiktiraf Angels Region apabila mencapai teras utama antaranya kesedaran awam yang meluas melalui kempen seperti FAST Heroes; prestasi EMS bertaraf emas bagi memastikan strok dapat dikenal pasti dengan pantas dan pesakit peroleh rawatan segera; rangkaian hospital dengan rawatan strok tersedia yang mencukupi dan mampu beri rawatan tepat pada masanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN