ANCAMAN kepupusan terhadap hidupan flora mendorong seorang jurugambar bebas mengambil inisiatif memulihara sendiri hampir 400 jenis tumbuhan di kediamannya sejak tujuh tahun lalu.
Diberi nama WildDome, pusat konservasi dan kajian ex-situ di Kampung Sungai Tong, Setiu, Terengganu itu bukan sahaja menjadi tumpuan penyelidik tempatan, malah turut dijadikan tempat rujukan oleh penyelidik antarabangsa.
Suzairi Zakaria, 45, atau lebih dikenali dengan nama pena, Dome Nikong berkata, usaha mengumpul pelbagai jenis tumbuhan termasuk 250 spesies orkid itu turut didorong oleh minat yang sangat mendalam terhadap tumbuhan berkenaan.
Katanya, selain spesies orkid, beberapa jenis tumbuhan turut berada dalam senarai koleksi di WildDome antaranya hoya, begonia, periuk kera, keladi, paku-pakis dan palma.
Begitupun, spesies orkid menjadi koleksi terbanyak kerana keunikan dan keistimewaan tumbuhan tersebut yang boleh ditemui di Terengganu, setanding dengan hutan hujan di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Suzairi menjelaskan sepanjang penerokaannya di hutan pergunungan di seluruh Terengganu, sebanyak 10 spesies baharu orkid, periuk kera serta thismia berjaya dihuraikan bersama penyelidik tempatan.
Antaranya Thismia terengganuensis, Thismia domei, Nepenthes latiffiana, Nepenthes domei, Nepenthes malayesis dan Nepentehes xsetiuensis (periuk kera).
“Empat lagi spesies baharu orkid pula kami namakan Dendrobium ainiae, Dendrobium ruseae, Bromheadia petuangensis dan Dendrobium mizanii – bersempena nama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Spesies orkid ini banyak ditemui di kawasan pembalakan selain tumbuh di hujung kayu-kayu balak,” ujarnya ketika ditemui Panorama di WildDome baru-baru ini.
Suzairi mengakui untuk menemui spesies orkid di tengah hutan belantara bukan tugas mudah sehingga pernah bermalam selama tujuh atau lapan hari di kawasan bukit dan gunung berkenaan.

Hasil penerokaan tersebut, Suzairi melihat pelbagai ancaman bukan sahaja terhadap spesies orkid bahkan kepada khazanah biodiversiti flora secara keseluruhan antaranya pencemaran dan pembalakan.
Atas kesedaran itu katanya, WildDome diwujudkan sebagai antara langkah untuk memastikan pemuliharaan spesies orkid dan tumbuhan lain dapat dijaga pada tangan yang betul.
Begitupun pusat konservasi dan kajian tersebut pernah mengalami kerosakan teruk akibat hujan lebat pada musim tengkujuh beberapa tahun lalu mengakibatkan hampir semua koleksi tumbuhan dijangkiti kulat dan mati.
Suzairi berkata, puluhan ribu ringgit telah dikeluarkannya sebagai modal tanpa bantuan mana-mana pihak sebagai tanda kecintaannya terhadap flora sejak 2014.
“Lebih membanggakan saya apabila Sultan Terengganu sudi mencemar duli melawat WildDome dan baginda turut meminati spesies tumbuhan seperti orkid.
“Menjaga spesies orkid sebagai tanaman tidak terlalu sukar tetapi kulat boleh menjangkiti pokok jika terlalu basah dan lembap seterusnya mati,” ujar Suzairi.

Berkongsi pengalamannya merungkai spesies baharu orkid, Suzairi berkata, universiti tempatan iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) banyak membantu dari aspek data serta kajian mendalam terhadap tumbuhan tersebut.
Tidak ketinggalan Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang masing-masing berkongsi penyelidikan mereka demi kelestarian flora yang kian diancam kepupusan.
Kerjasama itu membuktikan pengiktirafan terhadap usaha Suzairi. Bahkan pada tahun lalu, satu spesies baharu orkid telah ditemui di Guatemala dan dinamakan sempena jasa Suzairi iaitu Chysis domei oleh ahli botani negara Amerika Selatan itu.

Chysis domei merupakan nama ketiga yang dinamakan sempena dirinya selepas Nepenthes domei dan Thismia domei.
Memanfaatkan kemahiran membidik kamera, kini Suzairi juga dalam perancangan menerbitkan buku terbitannya berkisar tentang kehidupan spesies orkid yang dijadualkan berada di pasaran tahun ini.
Katanya, sebanyak 15,000 keping bahan gambar berada dalam simpanannya dan bersedia untuk dibukukan kepada pencinta spesies orkid yang berkongsi minat sama.
Naskhah itu menurutnya adalah kesinambungan daripada buku nukilannya, Wild Terengganu setebal 100 muka surat yang terjual lebih 200 unit termasuk mendapat permintaan dari Singapura, Kanada dan Amerika Syarikat.

Mengakhiri bicaranya, Suzairi berharap agar alam sekitar khususnya hidupan flora dapat dijaga rapi untuk tontonan generasi akan datang.
Semua pihak jelasnya perlu memainkan peranan dengan melindungi hutan tropika antaranya dengan mengetatkan undang-undang atau penubuhan lebih banyak Taman Negeri.
“Terengganu kaya dengan khazanah flora setanding dengan kawasan terkenal di dalam dan luar negara, malah masih banyak kelebihan biodiversiti yang belum diterokai.
“Keunikan itu, bagaimanapun boleh musnah sekelip mata sekiranya pihak bertanggungjawab bersikap tutup mata terhadap aktiviti pembalakan dan pemusnahan hutan yang tidak terkawal,” katanya.














