fbpx

Polis bantu keluarga suspek curi beras, susu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Nasrul (kanan) ketika berkunjung ke rumah isteri suspek untuk memberikan bantuan barangan asas semalam.

KOTA TINGGI – Hanya bergantung pendapatan isteri sebanyak RM30 sehari antara faktor seorang lelaki mencuri beras dan susu di sebuah kedai makan di Jalan Indah di sini kelmarin.

Ketua Polis Balai Kota Tinggi, Inspektor Wan Nasrul Fariq Wan Ismail berkata, bagaimanapun desakan hidup dilalui bukanlah alasan untuk melakukan jenayah.

Katanya, hasil kunjungan beliau ke kediaman isteri suspek untuk menyerahkan sumbangan mendapati keluarga tersebut hidup dalam keadaan susah ekoran hanya bergantung pada pendapatan isteri yang hanya ‘makan’ gaji harian.

“Keluarga ini agak susah dengan hanya bergantung pendapatan isteri RM30 sehari. Itu pun kalau ada kerja baru ada gaji.

“Memandangkan ada anak-anak kecil yang mungkin memerlukan makanan asas jadi kita mengambil inisiatif hadir membantu meringankan sedikit beban keluarga ini melalui sumbangan barangan keperluan asas,”katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar berfikir dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan terutama dalam kes jenayah yang tidak membawa apa-apa manfaat.

“Suspek mempunyai tiga orang anak yang masih kecil. Anak sulungnya bersekolah di darjah tiga. Ketika kita datang isterinya hanya menangis sebak.

“Kita harap orang ramai agar jangan ambil jalan mudah walau apa pun masalah yang kita hadapi. Setiap tindakan yang kita ambil akan ada kesannya,”katanya.

Terdahulu, polis berjaya menahan suspek lelaki yang mencuri sekampit beras dan susu selepas 11 jam melakukan jenayah itu .-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI