DIBESARKAN dalam keluarga berpecah-belah ternyata memberi kesan mendalam terhadap seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Wani.
Sewaktu kecil, dia sendiri menyaksikan bagaimana ibunya dipukul oleh bapanya jika mereka bertengkar.
“Jodoh ibu bapa saya juga tidak panjang. Sewaktu saya berumur 10 tahun mereka telah berpisah.
“Selepas itu, saya tinggal bersama ibu. Ibu ada berkahwin lain selepas itu tetapi jodohnya dengan suami baharu juga tidak panjang,” katanya kepada Panorama.
Wani yang kini berusia 39 tahun menjelaskan, kehidupan mereka pada waktu itu boleh dikatakan agak sukar dan ibunya perlu melakukan pelbagai kerja demi membesarkan dia bersama dua adiknya.
Ada ketikanya mereka menikmati nasi dan telur goreng sahaja kerana ibunya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelikan makanan sempurna, apatah lagi mewah.
Bapanya pada ketika itu juga hilang entah ke mana dan langsung tidak menjenguk mereka. Pada waktu itu, Wani sudah mula membenci insan bernama lelaki selepas kejadian yang berlaku kepada keluarganya.
Namun, apabila meningkat dewasa, Wani cuba membuang rasa benci terhadap lelaki dan memberi peluang kepada dirinya untuk melalui pengalaman bercinta dengan insan bergelar lelaki.
“Setelah tamat persekolahan, saya merantau ke ibu kota untuk mencari pekerjaan dan ditakdirkan tidak lama selepas itu saya telah bercinta dengan rakan sekerja saya dan saya amat menyayanginya.
“Hampir lima tahun kami bercinta dan dia berjanji untuk menjadikan saya sebagai isterinya. Tetapi itu semua hanya omongan sahaja di mana akhirnya saya ditinggalkan lelaki itu,” katanya.
Tambahnya, remuk hatinya pada ketika itu apabila ditinggalkan. Ketika Wani mengharapkan bertemu dengan seorang lelaki yang baik, dia tidak menyangka diperlakukan sedemikian.
Selepas itu, Wani semakin menanam kebencian kepada lelaki.
Wani kemudian memilih untuk menumpukan perhatian terhadap kerjaya.
Setelah tidak menjalinkan hubungan dengan lelaki untuk satu tempoh masa yang panjang, hati Wani kembali terdetik untuk bercinta setelah dia berkenalan dengan seorang lelaki yang lebih berusia daripadanya.
Tegasnya, dia bertemu dengan lelaki itu atas urusan kerja dan mereka saling berhubung antara satu sama lain.
“Dia pandai bermain kata-kata sehingga membuatkan saya jatuh hati kepadanya. Akhirnya kami memilih untuk menjalinkan hubungan percintaan.
“Sepanjang menjalinkan hubungan cinta, saya mengakui dia cuba mengambil kesempatan ke atas diri saya. Tetapi saya masih mampu untuk menjaga maruah saya,” katanya.
Namun setelah beberapa bulan menjalinkan hubungan cinta itu, Wani menyedari teman lelakinya itu adalah seorang kaki perempuan.

–GAMBAR HIASAN
Dia sendiri telah menjumpai resit daftar masuk ke hotel di dalam kereta teman lelakinya itu.
Hotel itu terletak di ibu kota sedangkan pada hari yang sama teman lelakinya menyatakan mempunyai urusan kerja di luar kawasan.
“Saya bertanya kepadanya dan dia memberi alasan bahawa itu adalah resit kawannya yang ditinggalkan di dalam keretanya. Tetapi itu semua hanya tipu belaka.
Akhirnya saya dapat mengetahui bahawa dia curang di belakang saya dan pergi mendaftar masuk ke hotel tersebut dengan wanita lain,” katanya.
Tambahnya, dia kecewa dengan perbuatan tersebut dan Wani mengambil keputusan untuk berpisah dengan teman lelakinya itu.
Kini Wani memilih untuk bersendirian dan tidak mahu menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki. Hatinya telah tertutup untuk menerima mana-mana lelaki setelah dua kali dipermainkan.
Akuinya, sehingga kini dia turut mempunyai perasaan takut untuk berkahwin dan memiliki keluarga.
Dia menjelaskan, wanita ternyata boleh hidup tanpa lelaki dan perkara itu telah dilakukan oleh ibunya. Tanpa lelaki, ibunya masih mampu membesarkan dia dan adik-adiknya.
“Saya mengakui pada awalnya saya memiliki keinginan untuk berkahwin. Tetapi setelah terkenang peristiwa yang dialami ibu saya dan saya sendiri ditinggalkan dan dipermainkan lelaki membuatkan saya takut untuk berkahwin.
Perkahwinan itu satu pertaruhan, saya takut jika ditakdirkan hidup bersama dengan lelaki yang tidak bertanggungjawab.
“Saya senang dengan kehidupan saya kini. Saya boleh hidup tanpa lelaki. Saya tidak kisah digelar sebagai anak dara tua asalkan saya tidak mengalami perkara yang buruk dalam perkahwinan,” ujarnya.
















