fbpx

‘Kami mahu pandai macam mereka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSLAN (belakang, tengah) bersama kanak-kanak Orang Asli suku Bateq yang tercicir pelajaran di Kampung Kuala Atok, Jerantut semalam.

Oleh HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT – Kerajaan ne­geri dan pihak berkaitan dirayu supaya menyelesaikan segera masalah anak-anak Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Atok di sini yang tercicir jauh daripada pembangunan dan pembelajaran.

Lebih sedih apabila kira-kira 30 kanak-kanak Orang Asli tersebut begitu bersemangat untuk belajar dan berangan-angan untuk ke menara gading sedangkan tiada siapa yang sudi mengajar mereka.

“Bila boleh sekolah, kami pun mahu jadi pandai,” kata Angih Dahan, 12, kepada wakil Bird Group Taman Negara (BGTN) ketika menghantar bantuan makanan dan peralatan kepada mereka semalam.

Angih bersama 30 kanak-kanak Orang Asli di kampung yang terletak berdekatan Kuala Tahan itu tidak dapat mengikuti sesi persekolahan kerana tiada kemudahan pengangkutan dan sumber kewangan.

Menurut Angih, dia dan rakannya yang lain di kampung itu sudah lama berhasrat untuk belajar di sekolah seperti mana anak-anak Orang Asli di tempat lain yang telah berjaya sehingga ke menara gading.

“Saya mahu dapat membaca dan menulis kerana boleh bekerja­ sebagai pemandu pelancong di Taman Negara Kuala Tahan. Saya pun mahu jadi pandai,” rayunya.

Sementara itu, Pengerusi BGTN, Roslan Abu Kassim memberitahu, kesemua kanak-kanak berusia antara enam hingga 13 tahun di kampung berkenaan tidak dapat bersekolah ekoran kehidupan yang terlalu susah.

“Mereka memohon kerajaan menyediakan bot penambang dan pakaian seragam serta ke­perluan lain untuk memenuhi cita-cita anak Orang Asli di sini,” katanya.

Roslan berkata, sekolah rendah terdekat dengan Kampung Kuala Atok terletak di Kampung Merting di sini yang memakan masa 30 minit menaiki bot penambang.

Beliau memberitahu, permohonan menghantar guru ke sini telah dibuat.

“Hasrat ini perlu dipenuhi kerajaan memandangkan ada guru yang datang mengajar kanak-kanak Orang Asli di Kampung Bengoi berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Kampung Kuala Sat,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI