SAAT mendapat berita kematian ibunya daripada pihak hospital, emosi pemuda berusia 34 tahun itu terus bertukar sedih dan hiba dek kematian orang tersayang.
Tidak lama selepas itu, perasaan Haziq Ali mula cemas selepas mengenangkan wang simpanan di dalam akaun tidak mencukupi untuk menguruskan jenazah ibunya yang meninggal dunia akibat kanser.
Hal ini memandangkan pihak masjid di kawasan kariahnya memaklumkan, kos menguruskan jenazah ibunya boleh mencecah lebih RM2,000 termasuk pengangkutan dari hospital ke rumah.
Sebagai anak tunggal, Haziq yang berasal dari ibu kota memilih meminjam wang daripada ahli keluarga dan kenalan rapat bagi menguruskan jenazah ibunya secepat mungkin.
Ketika menghubungi seorang kenalan untuk meminjam wang, Haziq dimaklumkan bahawa terdapat badan bukan kerajaan (NGO) yang membantunya menguruskan jenazah secara percuma.

NGO dikenali sebagai Pasukan Amal (Amal Team) itu menawarkan perkhidmatan menguruskan jenazah kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan di seluruh negara.
“Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada pihak Amal Team kerana membantu menguruskan jenazah ibu dari awal sehingga selesai.
“Bantuan yang diberikan ini nampak remeh, hakikatnya ia sangat bermakna terutamanya kepada waris kurang berkemampuan seperti saya,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Mula beroperasi sejak 2016, Amal Team menawarkan khidmat pengurusan jenazah merangkumi urusan mandi, mengkafan, solat, penghantaran dan pengebumian kepada golongan asnaf.
Menariknya, perkhidmatan yang beroperasi 24 jam setiap hari itu ditawarkan di seluruh negara kepada penduduk tempatan dan warga asing yang menetap di negara ini.
Pengasas Amal Team, Afiz Ayub, 36, memaklumkan, dia terpanggil menubuhkan perkhidmatan itu selepas mendapati terdapat pihak yang kurang berkemampuan untuk menguruskan jenazah.
Tegasnya, ini disebabkan terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain dengan menawarkan caj menguruskan jenazah yang tinggi.
“Saya sedar tidak semua umat Islam di negara ini berkemampuan untuk menyediakan kos menguruskan jenazah yang semakin tinggi iaitu mencecah hampir RM2,000.
“Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk menyediakan perkhidmatan kerja-kerja fardu kifayah ini secara percuma kepada golongan asnaf dan mereka memerlukan,” katanya.

Mengimbau kembali detik penubuhan Amal Team, ahli perniagaan dari Kuala Lumpur itu memberitahu, ia bermula selepas bertemu seorang kenalan lama yang terlibat menguruskan jenazah sepenuh masa pada 2016.
Jelasnya, pertemuan tersebut berlaku ketika mereka sama-sama membantu menguruskan jenazah dari ibu kota untuk dibawa pulang ke Sabah bagi proses pengebumian.
Dia mememaklumkan, hasil pertemuan tersebut mereka berbincang panjang lebar mengenai bayaran caj pengurusan jenazah yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.
“Sejak usia remaja, saya selalu terlibat membantu menguruskan jenazah di kawasan kejiranan. Kebetulan pada 2016, saya bertemu dengan seorang sahabat lama yang turut mempunyai minat sama.
“Disebabkan itu, kami bersetuju menubuhkan Amal Team dengan memberi fokus kepada perkhidmatan pengurusan jenazah kepada golongan memerlukan. Dengan menggunakan wang simpanan, kami membeli beberapa kenderaan jenazah serta merekrut sukarelawan di seluruh negara,” ujarnya.
Setakat ini, Amal Team mempunyai seramai lebih 100 orang sukarelawan serta 40 buah kenderaan jenazah yang ditempatkan di seluruh negara.

Secara purata, pihaknya membelanjakan lebih RM30,000 sebulan bagi membiayai kos tol, minyak petrol, keperluan makanan sukarelawan dan keperluan lain.
Dengan kekuatan dan kemudahan yang ada, Amal Team telah berjaya membantu menguruskan lebih 3,000 jenazah yang kebanyakannya meninggal dunia di hospital.
Afiz yang juga bapa kepada dua cahaya mata menambah, semua sukarelawan terlibat tidak mengharapkan sebarang ganjaran dunia, sebaliknya mereka lebih mengejar saham akhirat.
“Saya sentiasa percaya apabila kita berkongsi pendapatan dan tenaga dengan orang lain, maka Allah SWT akan mengadakan rezeki berlipat kali ganda.
“Setakat ini, saya tidak pernah meletakkan sebarang harga atau menerima apa-apa bayaran daripada waris kecuali wang sedekah. Wang ini digunakan untuk membeli keperluan jenazah orang memerlukan,” katanya.
Selain itu, Amal Team menyediakan perkhidmatan menguruskan jenazah rakyat tempatan yang meninggal dunia di sebarang laut untuk dibawa pulang dan disemadikan di negara ini.

Ujar Afiz, kos membawa pulang jenazah dari luar menelan kos yang tinggi serta prosedur ketat sekali gus membuatkan waris tidak mampu melakukannya.
“Saya sendiri beberapa kali membantu membawa pulang jenazah terutamanya dari Australia. Kami juga menyediakan khidmat menghantar jenazah warga asing pulang ke negara asal.
“Namun, ia bukan percuma disebabkan melibatkan kos yang tinggi. Sekiranya tiada waris yang tuntut, kami akan menguruskan jenazah berkenaan secara percuma di negara ini,” ujarnya.
Sementara itu, salah seorang sukarelawan Amal Team, Azizul Johafiezzal Johari, 24, berkata, dia berasa puas setiap kali menguruskan jenazah sekali gus membantu waris yang berada dalam kesusahan.
Pemuda berasal dari Kajang, Selangor itu menegaskan, sepanjang empat tahun menjadi sukarelawan, dia banyak terlibat dalam tugas memandikan jenazah.
“Memang penat dan letih apabila melakukan kerja menguruskan jenazah. Namun, apabila melihat raut wajah gembira waris yang dibantu, semua penat itu hilang dengan sendirinya.
“Saya juga berasa puas apabila dapat membantu membanteras ejen-ejen yang cuba mengambil kesempatan kepada waris dengan menawarkan perkhidmatan dengan bayaran tidak masuk akal,” ujarnya.
Azizul Johafiezzal yang bekerja sendiri juga mempunyai beberapa pengalaman mengurus jenazah dari luar negara untuk dibawa pulang.
“Walaupun urusan dokumentasi membawa pulang jenazah dari luar agak rumit, tetapi dengan izin Allah SWT semuanya dipermudahkan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu atau menghulurkan bantuan kepada Amal Team bagi tujuan kerja-kerja fardu kifayah, boleh menyalurkan menerusi akaun bank, CIMB Fitrah Funeral Services, 8602262165.














