fbpx

MyCC mahu bentang Pindaan Akta Persaingan 2010

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander Nanta Linggi.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) merancang untuk membentangkan pindaan Akta Persaingan 2010 berkaitan kuasa mengawal penggabungan dan pengambil alihan syarikat pada hujung tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, MyCC sudah memulakan proses untuk meminda akta itu bagi memperkenalkan kuasa tersebut.

Beliau berkata, melalui kuasa itu, sebarang penggabungan dan pengambil alihan syarikat perlu mendapat kebenaran daripada MyCC.

“Ini bertujuan untuk mengelakkan penumpuan pasaran yang boleh menggugat pasaran.

“Mana-mana syarikat yang bergabung tanpa kebenaran boleh diarahkan untuk memecah balik gabungan itu dan boleh dikenakan denda,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang dilapor mencadangkan agar undang-undang persaingan di negara ini dikaji semula berdasarkan amalan ‘monopoli’ oleh sesetengah syarikat.

Kedua-dua Ahli Parlimen tersebut juga dilaporkan telah menamakan syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan e-hailing, Grab sebagai contoh dan menyarankan agar monopoli syarikat pemula niaga bernilai berbillion dollar itu harus dipecahkan.

Menjawab perkara itu, Alexander berkata, KPDNHEP melalui MyCC telah mengeluarkan satu keputusan cadangan terhadap Grab pada Oktober 2019 kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan dominannya dalam pasaran yang berkaitan dengan perkhidmatannya.

Beliau berkata, keputusan akhir bagi kes itu akan dikeluarkan oleh MyCC setelah mendengar dan meneliti secara terperinci hujahan daripada pihak Grab yang telah dibuat baru-baru ini.

Menurutnya, MyCC juga telah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa syarikat seperti MyEG Services Sdn. Bhd., DagangNet Sdn. Bhd., Malaysian Airlines, AirAsia dan lain-lain melibatkan jumlah denda melebihi RM160 juta.

“Syarikat-syarikat ini didapati melanggar perlakuan antipersaingan sama ada melalui perjanjian antipersaingan atau kartel dan penyalahgunaan kuasa dominan atau monopoli,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI