fbpx

Hakim Danish bintang dalam pembikinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SOPI SAMAILE,
PENGARANG BERITA KOSMO.

TUBUHNYA masih cilik, sesuai dengan usianya 13 tahun, namun pemilik empunya badan, Muhammad Hakim Danish Ramli bukan remaja biasa sebayanya, sebaliknya permata yang belum digilap sepenuhnya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor, Kuala Terengganu itu merupakan juara Kejohanan Permotoran SIC MiniGP musim pertama tahun lepas sekali gus melayakkannya bersaing pada Kejohanan Idemitsu Asia Talent Cup (ATC) 2021.

Kejohanan Permotoran SIC MiniGP merupakan anjuran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan kerjasama ZK Racing yang julung-julung kali diadakan pada tahun lalu membabitkan pelumba-pelumba muda lingkungan umur lapan hingga 13 tahun.

Pada kejohanan tersebut, Hakim Danish muncul pelumba paling menonjol apabila mengungguli perlumbaan pertama kategori 160cc melibatkan 20 pusingan dengan catatan masa 18 minit 38.620 saat (s) dan turut menang pada saingan kedua menerusi catatan 18:40.340s.

Selepas mengharungi empat pusingan perlumbaan, Hakim Danish dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori 160cc selepas mengumpul 200 mata sekali gus layak beraksi di pentas Asia iaitu Kejohanan Idemitsu ATC 2021 yang bermula semalam.

Meskipun diibaratkan masih setahun jagung dalam sukan permotoran antarabangsa, Hakim Danish tidak menunjukkan sebarang perasaan gentar atau cuak, sebaliknya kelihatan tenang seolah-olah sudah memiliki tiga hingga empat tahun pengalaman beraksi pada ATC.

Malah, ketika wajahnya terpampang dalam televisyen sebelum dan selepas perlumbaan, dapat dilihat dengan jelas ketenangan anak muda negara itu membawa dirinya selain memiliki karisma dan aura seorang pelumba bintang pada masa depan.

Lebih mengejutkan, Hakim Danish yang pertama kali bersaing pada Kejohanan Idemitsu ATC 2021 di Litar Antarabangsa Losail, Qatar semalam turut melakukan kejutan apabila menempah petak kedua pada sesi kelayakan sebelum menamatkan perlumbaan pusingan pertama di kedudukan ketiga.

Dua rakan senegara Hakim Danish iaitu Sharul Ezwan Sharil (petak keenam) menamatkan saingan di tempat kelima, manakala Danial Syahmi Ahmad Shahril (petak ketujuh) yang kembali pada saingan tersebut mengakhiri saingan tempat ketujuh.

Hakim Danish adalah antara peserta termuda pada Kejohanan Idemitsu ATC 2021 dan bersaing dengan 21 peserta remaja lain dari lapan negara Asia Pasifik termasuk Thailand, Indonesia dan India.

Hakim Danish yang meminati sukan permotoran sejak berusia lapan tahun pernah menyatakan bahawa dia sedar akan berdepan barisan pelumba hebat dari luar negara, namun fakta itu belum cukup menggentarkan dirinya malah menyasarkan untuk menghuni lima kedudukan teratas.

“Saya gembira kerana dapat berlumba dengan kawan-kawan di sini. Tentunya saya ingin meraih lebih banyak kemenangan selepas ini,” kata Hakim Danish yang menjadikan pelumba Repsol Honda, Marc Marquez dan pelumba negara, Adam Norrodin sebagai idolanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI