fbpx

125 termasuk Exco Pulau Pinang antara saksi pendakwaan kes rasuah Guan Eng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng.

KUALA LUMPUR – Seramai 125 saksi pendakwaan termasuk beberapa Exco dari negeri Pulau Pinang dijangka akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama negeri itu.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa, Wan Shaharudin Wan Ladin ketika ditemui selepas prosiding pengurusan kes tersebut di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

“Hari ini pihak pendakwaan juga telah menyerahkan beberapa dokumen berkaitan kes,” katanya.

Terdahulu semasa prosiding Wan Shaharudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah selesai menyerahkan keseluruhan dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan yang diwakili peguam Sangeet Kaur Deo.

Bagaimanapun dalam prosiding hari ini kehadiran Guan Eng ,61, dikecualikan.

Sebelum ini, Hakim Azura telah menetapkan  tarikh perbicaraan pada 8 hingga 11 Jun; 12 hingga 16 Julai; 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 September, 20 hingga 24 September dan 13 hingga 17 Disember.

Mahkamah turut membenarkan keempat-empat kes iaitu tiga pertuduhan yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang dan satu pertuduhan yang didaftarkan di mahkamah sini, dibicarakan secara bersama.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR, Georgetown, Pulau Pinang mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan tersebut dilantik untuk projek sama.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara pukul 12.30 tengah malam hingga 2 pagi, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan itu juga didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI