fbpx

Jersi skuad Harimau Malaya, kelab bola sepak tiruan dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shahran (tengah) bersama anggota penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Kubang Pasu menunjukkan sebahagian pakaian sukan berjenama terkenal disyaki tiruan yang dirampas di Kawasan Perindustrian Bandar Darulaman pada semalam.

JITRA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah merampas 592 helai baju termasuk jersi skuad Harimau Malaya dan kelab bola sepak luar negara serta seluar berjenama terkenal yang disyaki tiruan selepas menyerbu sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bandar Darulaman di sini semalam.

Serbuan ke atas premis menjual pakaian itu dilakukan enam penguat kuasa KPDNHEP Cawangan Kubang Pasu kira-kira pukul 11 pagi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Mohd. Shahran Mohd. Arshad memberitahu, pasukannya melakukan risikan selama kira-kira dua minggu sebelum menyerbu premis berkenaan.

Katanya, pemeriksaan menemui 510 helai baju jersi dan 82 helai seluar berjenama terkenal seperti Adidas, Puma dan Nike yang disyaki tiruan.

“Kesemua pakaian sukan yang dianggarkan bernilai RM12,660 itu dirampas selain kita turut menahan seorang pekerja premis iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat KPDNHEP Cawangan Kubang Pasu di sini hari ini.

Kata beliau, siasatan mendapati premis tersebut menjalankan perniagaan menjual pakaian termasuk jersi dan seluar berjenama terkenal yang dipercayai diperoleh dari negara jiran sejak setahun lalu.

“Pakaian sukan yang dipercayai gred A ini dijual pada harga antara RM10 hingga RM35 sehelai,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI