fbpx

Warga emas tinggal di rumah usang tanpa tandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sapiah tinggal di bawah rumah pusaka yang usang dalam keadaan serba kekurangan di Kampung Ulu Bendul. /FOTO ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.

KUALA PILAH – Seorang warga emas hidup serba kekurangan di bawah sebuah rumah pusaka serba usang di Kampung Ulu Bendul dekat sini.

Sapiah Keweh, 76, berkata, dia terpaksa tinggal di bahagian bawah rumah pusaka itu kerana tidak berani untuk mendiami bahagian atas rumah itu yang sudah uzur.

Lebih menyedihkan, dia tinggal di rumah itu sejak 20 tahun lalu bersama seorang anak lelakinya berusia 50 tahun tanpa mempunyai kemudahan tandas yang selesa.

Tambah menyedihkan, Sapiah kini hanya mampu mengengsot untuk bergerak ke mana-mana kerana mengalami kesakitan pada bahagian lutut.

“Lagipun bahagian bawah rumah ini rendah dan sempit, nak berjalan pun memang susah. Saya menumpang di rumah ini bersama anak yang hanya bekerja kampung, saya ada dua orang lagi anak tetapi tidak dapat dihubungi, hanya seorang ini sahajalah yang membantu.

“Rumah pusaka ini kepunyaan arwah kakak dan ia diwariskan kepada anaknya yang tinggal di Pahang. Saya mempunyai tanah di kawasan berdekatan namun tidak mempunyai wang yang cukup untuk membina rumah,” ujarnya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Dia ditemui Kosmo! selepas menerima bantuan bakul makanan yang diserahkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Kampung Ulu Bendul, dekat sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi MPPK Kampung Ulu Bendul, Shahrin Mat Basir berkata, dia dan ahli jawatankuasa sentiasa mengambil berat keadaan Sapiah namun mengakui tiada sebarang bantuan yang diterima untuk membina sebuah rumah untuk keluarga itu

“Dia sudah lama memaklumkan kepada saya tentang rumah berkenaan namun kami tidak mempunyai sebarang peruntukan untuk membina rumah yang lebih selesa. Memang menyedihkan, rumah yang didiaminya kini agak usang dan tiada bilik air dan tandas.

“Sapiah terpaksa mengengsot ke tali air di belakang rumahnya untuk mengambil air dan mandi. Apa yang kami lihat, anaknya ada membuat satu ruangan kecil untuknya di dalam rumah bagi membuang air namun keadaannya agak kotor,” katanya.

Menurutnya, pihak MPKK menyambut baik sekiranya ada mana-mana pihak berhasrat mahu menghulurkan bantuan untuk mendapatkan sebuah rumah untuk Sapiah atau setidak-tidaknya membina tandas untuk kemudahan warga emas itu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI