fbpx

Aset PDRM bakal dijadikan tarikan pelancongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayub Yaakob (kiri) dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Lawatan Kerja Koperasi PDRM dan Kumpulan Kop Mantap Ke Kontinjen Zon Selatan malam semalam.

JOHOR BAHRU –  Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhasrat untuk menggunakan kepelbagaian aset yang dimiliki mereka sebagai satu tarikan pelancongan, sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa.

Pengerusi Koperasi PDRM, Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, bagi menjayakan usaha itu mereka akan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk agensi pelancongan dan pengusaha hotel.

“Ketika ini, terdapat tujuh cabang perniagaan di bawah Koperasi PDRM, dengan satu daripadanya menjurus kepada sektor pelancongan, jadi dengan asas yang ada boleh jadikan aset-aset PDRM seperti Pusat Latihan Polis, Muzium Polis, perkakasan polis dan sebagainya sebagai satu tarikan dan mungkin juga kita mulakan dengan aset-aset lain.

“Kita pun sudah mendapat lesen untuk menjalankan perniagaan pensenjataan dan mungkin bersama dengan PDRM membangunkan lapangan tembak bagi membolehkan pelancong merasai sendiri pengalaman ‘shooting club’ yang professional” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas menghadiri Program Lawatan Kerja Koperasi PDRM dan Kumpulan Kop Mantap Ke Kontinjen Zon Selatan, di sini malam semalam.

Turut hadir program itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Selain sektor pelancongan, Koperasi PDRM turut menceburi bidang pendidikan, logistik, trading, sekuriti, pengangkutan dan pembinaan.

Menurut Ayub, pihaknya juga akan berbincang dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan agensi berkaitan untuk membolehkan syarikat pelaburan mereka, Kop Mantap menjalankan kerjasama dengan semua koperasi di Malaysia bagi memberi perkhidmatan agensi pelancongan.

“Kita mahu menjadi salah satu daripada peneraju pelancongan yang juga memberi perkhidmatan bukan sahaja kepada anggota-anggota polis tetapi juga kepada ahli koperasi-koperasi yang lain.

“Kita percaya ia boleh dilakukan kerana  kita pun ada pasaran ‘niche’  melibatkan keluarga-keluarga polis yang mahu mendapatkan perkhidmatan menunaikan haji dan umrah dan sebagainya,” kata beliau.

Untuk rekod, koperasi PDRM ketika ini mempunyai seramai 104,000 ahli yang terdiri daripada pegawai dan anggota polis dari seluruh negara.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI