fbpx

Cemburu melampau undang keganasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SHARKAWI LONDING
WARTAWAL EKSEKUTIF

KEJAM. Aksara ini tepat bagi menggambarkan perbuatan seorang lelaki yang dituduh membunuh isterinya di Kota Tinggi, Johor, 1 Mac lalu.

Lelaki berusia 43 tahun itu didakwa melepaskan beberapa das tembakan ke atas ibu dua anak tersebut dengan menggunakan senapang angin ketika mangsa sedang tidur.

Mayat mangsa kemudian disumbat di dalam tong air sebelum dibawa ke sebuah ladang untuk ditanam bagi melupuskan bukti.

Helah pemandu jengkaut itu akhirnya terbongkar selepas siasatan terperinci dijalankan pasukan Polis Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang akhbar pada 5 Mac lalu berkata, motif pembunuhan disyaki angkara cemburu.

Mengulas lanjut, Pengarah Pusat Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad menggariskan dua situasi sifat cemburu iaitu cemburu boleh dimaafkan atau cemburu biasa dan cemburu buta yang melampau-lampau.

Menurutnya, tahap cemburu juga berbeza setiap individu.

“Ada lagi satu jenis cemburu yang mempunyai sindrom ­Othello atau pathological jealousy iaitu gangguan perasaan yang menyebabkan individu itu merasakan pasangannya curang,” katanya kepada Kosmo! .

Fauziah berkata, individu yang mempunyai sindrom itu berbahaya jika tidak dirawat lebih awal boleh menjejaskan mental.

Ujarnya, mereka yang mempunyai sindrom tersebut memiliki satu perasaan atau sifat yang sering membuat tuduhan tidak berasas dan tidak masuk akal.

“Apabila tidak dapat dikawal, mereka boleh bertindak di luar kawalan dan ganas,” katanya.

Menurutnya, orang yang cemburu mungkin juga mengalami satu keadaan gangguan yang dipanggil obsesif kompulsif atau tingkah laku yang berulang-ulang (cemburu buta).

“Individu yang mempunyai sifat ini akan mengawal pasangan mereka termasuk sering mela­kukan semakan telefon,” ujarnya.

Fauziah berkata, mereka yang mengalami sindrom Othello dan obsesif kompulsif yang teruk boleh membawa kepada gang­guan skizofrenia (penyakit mental) dan bipolar (kemurungan).

Katanya, individu yang mempunyai sindrom-sindrom ini dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan atau kaunseling.

“Untuk mereka yang mengalami sindrom Othello dan obsesif kompulsif boleh dirawat dan pegawai-pegawai psikologi mempunyai kaedah tertentu untuk merawat masalah ini.

“Bagi skizofrenia dan bipolar pula, mereka perlu merujuk kepada pihak psikiatri kerana memerlukan ubat-ubatan untuk mengawal masalah kesihatan mental,” katanya.

Fauziah berkata, ba­nyak faktor mendorong kepada permasalahan itu antaranya kewangan, hubungan, tekanan kerja selain faktor budaya yang mana sifat lelaki lebih dominan untuk me­ngawal gerak-geri wanita.

“Setiap pasangan perlu menanam sifat tolak ansur, komunikasi dua hala serta saling menghargai pasangan.

“Jika ada sebarang masalah, kebanyakan pasangan akan pendam atau mereka akan cari orang yang boleh mendengar permasahan yang dihadapi.

“Kalau jumpa dengan orang baik, mereka selamat, kalau jumpa yang sebaliknya, itu sebab berlakunya kes curang,” katanya.

Pasangan suami isteri perlu menghangatkan kembali hubungan dengan mengimbau kembali saat-saat manis ketika bercinta. Cara ini dapat kembalikan iklim dalam rumah tangga ­ke­adaan yang baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI