fbpx

Lewat dapat dos kedua mungkin lambatkan penghasilan antibodi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan peningkatan ketara antibodi yang berkebolehan memberi keberkesanan jangka panjang seseorang adalah selepas dos kedua vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kelewatan mendapatkan dos kedua vaksin mungkin akan melambatkan penghasilan antibodi yang optimum.

Beliau berkata, KKM sentiasa menjalankan pemantauan berterusan terhadap vaksin yang digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Ia membabitkan program pemantauan mutu produk berdaftar dan pharmacovigilance bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut sentiasa terjamin,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, KKM mengambil maklum akan isu yang ditimbulkan berkaitan keperluan pengambilan dua dos vaksin Covid-19 jenama Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (MAL21016022AZ) keluaran Pfizer-BioNTech.

Noor Hisham berkata, tahap keberkesanan vaksin Comirnaty dilaporkan sebagai 94.6 peratus (N= 36,621) dalam mencegah jangkitan Sars CoV2 bergejala berdasarkan kajian klinikal fasa 3 yang melibatkan suntikan dua dos dengan selang masa 21 hari.

“Bagaimanapun, Strategic Advisory Group of Experts on Immunization (SAGE) daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar dos kedua diberikan selepas 21 hingga 28 hari daripada dos pertama.

“Berdasarkan pemerhatian dalam kajian klinikal tersebut, keberkesanan vaksin Comirnaty telah ditunjukkan bermula dari hari ke-12 selepas pemberian dos pertama dan mencapai kira-kira 89 peratus keberkesanan di antara hari ke-14 dan 21, iaitu pada masa dos kedua akan diberikan,” katanya.

Katanya, pada masa ini, keberkesanan jangka panjang untuk pemberian satu dos vaksin Comirnaty tidak diketahui kerana penerima vaksin dalam kajian klinikal tersebut menerima dua dos dengan selang masa antara 19 hingga 42 hari. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI