fbpx

RM60 juta diluluskan baik pulih tebing runtuh Kampung Pohon Chelagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri) turun padang meninjau lokasi runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi, Pasir Mas hari ini.

PASIR MAS – Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk kerja-kerja membaiki cerun tebing Sungai Kelantan yang runtuh di Kampung Pohon Chelagi di sini, bulan lalu.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukan tersebut turut merangkumi proses pengambilalihan tanah-tanah milik penduduk yang runtuh akibat hakisan itu.

Menurutnya, kelulusan itu sekali gus membolehkan kerja-kerja membaik pulih runtuhan tersebut dilakukan dengan lebih cepat sebelum kedatangan musim tengkujuh hujung tahun ini.

“Jika kerja-kerja ini tidak dapat disiapkan sebelum November, berkemungkinan besar runtuhan itu akan menjadi lebih teruk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau keadaan runtuhan tebing di Kampung Pohon Chelagi di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan Dan Utiliti Negeri, Datuk Azami Mohd. Nor, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Hanifa Ahmad, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha.

Tuan Ibrahim memberitahu, jumlah itu diluluskan Kabinet mengikut cadangan bajet yang dipohon kerajaan negeri dan 20 lot tanah yang terlibat dengan insiden itu telah dikenal pasti bagi tujuan pengambil alihan kerajaan.

“Kita akan bangunkan kawasan ini sebagai pusat rekreasi yang akan menjadi mercu tanda kepada Pasir Mas pada masa hadapan,” ujarnya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI