fbpx

Kolam takungan selesaikan masalah gangguan bekalan air 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bung Moktar (kiri) ketika mengadakan lawatan ke kawasan perumahan University Apartment (UA) berkaitan isu gangguan bekalan air sebentar tadi.

KOTA KINABALU – Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah bakal melihat pendekatan membina kolam takungan air sebagai antara inisiatif penyelesaian masalah gangguan bekalan air di negeri ini bagi jangka masa panjang.

Menterinya, Datuk Seri Bung Moktar berkata, pihaknya melihat pembinaan kolan takungan air dijangka dapat membekalkan air bagi tempoh lebih lama berbanding ketika ini.

“Air di dalam kolam boleh bertahan sekurang-kurangnya bagi jangka masa dua bulan walaupun ketika musim kemarau namun kita memerlukan tanah seluas kira-kira 1,000 hektar di setiap daerah bagi membina kolam takungan air berkenaan.

“Manakala kos yang diperlukan untuk membina sebuah kolam takungan air adalah sekitar RM500 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan perumahan University Apartment (UA) sebentar tadi.

Lawatan berkenaan bagi meninjau situasi gangguan bekalan air yang sering dihadapi penduduk setempat di kawasan terbabit.

Turut hadir Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Edward Lingkapo.

Dalam pada itu, Bung Moktar menyatakan pembinaan kolam takungan air seumpama itu di daerah Kota Kinabalu juga boleh dimanfaatkan beberapa daerah berhampiran.

Sementara itu, Bung Moktar turut memaklumkan projek Loji Rawatan Air Telibong Fasa Dua di Tuaran yang lewat daripada jadual adalah antara punca yang menyebabkan bekalan air di UA sering mengalami gangguan.

“Boleh dikatakan ini adalah projek yang ‘sakit’ kerana sudah terlalu jauh lewat daripada jadual sepatutnya. Projek setakat ini baharu siap sekitar 30 peratus. Mengikut jadual asal, ia perlu siap lebih 50 peratus sekarang.

“Bagaimanapun, kita sentiasa berhubung dengan pihak kontraktor dan mendesak mereka supaya projek ini segera disiapkan memandangkan ramai penduduk terjejas akibat ketiadaan bekalan air,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI