fbpx

Didakwa 120 tuduhan terima wang hampir RM83,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang penolong pegawai tadbir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 120 pertuduhan menerima wang berjumlah RM82,700 daripada lima pemilik syarikat kontraktor pembersihan, tujuh tahun lalu.

Mohamed Helfien Nordin, 44, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim-Hakim Suzana Hussin, Rozina Ayob dan Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pengurus Perumahan Zon 2, Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL didakwa menerima untuk dirinya wang RM82,700.

Wang itu didakwa dimasukkan melalui akaun Maybank miliknya daripada lima pemilik syarikat kontraktor pembersihan perumahan dan rumah sampah di DBKL.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Medan Tuanku, Jalan Medan Tuanku 1 di sini antara Januari 2014 dan Jun 2017.

Lelaki tersebut didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan berjumlah RM80,000 bagi kesemua pertuduhan namun Mohamed Helfien yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana dia penanggung tunggal keluarga serta perlu menjaga isteri dan empat orang anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM47,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Dia turut dikenakan syarat tambahan iaitu pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berdekatan pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 12 April ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen selain tertuduh turut disenaraihitamkan ke luar negara. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI