fbpx
Mohd. Yusri (empat dari kanan) menunjukkan dadah dipercayai jenis heroin yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong di sini, hari ini.

Polis tumpas Geng Nuar Manchis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

BENTONG – Polis berjaya menumpaskan Geng Nuar Manchis yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah selepas menahan lima lelaki warganegara tempatan di daerah ini dan Kuala Lumpur awal bulan ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam serbuan tersebut polis turut merampas dadah dipercayai jenis heroin seberat 4.4 kilogram bernilai RM48,947 selain wang tunai dan barang kemas bernilai RM29,000.

“Bermula 3 Mac polis berjaya menahan dua lelaki berusia 25 dan 35 tahun menaiki dua buah motosikal di Batu 5 Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur dan merampas dadah disyaki jenis heroin seberat 905.28 gram sebelum seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan pada 4 Mac di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

“Pihak polis meneruskan gerakan susulan dan pada 5 Mac dan menahan seorang lelaki berusia 26 tahun menaiki kereta Perodua Myvi di tepi jalan di Kuala Lumpur dan merampas dadah jenis heroin seberat 530 gram sebelum suspek kelima berusia 21 tahun yang menaiki kereta jenis Honda City ditahan pada hari sama bersama dadah disyaki heroin seberat 2,970 gram juga di Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.

Menurut Mohd. Yusri kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan dan siasatan masih giat dilakukan.

Katanya, berdasarkan ujian saringan urin mendapati dua suspek yang ditahan pada 3 Mac positif dadah dan tiga lagi suspek yang ditahan pada hari berikutnya negatif dadah.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini memperolehi bekalan dadah jenis heroin dari Kuala Lumpur untuk diedarkan ke daerah Bentong dan bergiat aktif dalam tempoh empat bulan lalu.

“Dengan tertangkapnya lima suspek ini pihak polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang kesemuanya didalangi oleh warganegara tempatan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN