fbpx

Lelaki bangga mengaku murtadkan wanita ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menahan seorang lelaki yang sebelum ini menjadi tular selepas dia memuat naik video mengaku memurtadkan wanita Islam, di platform media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, hasil daripada siasatan yang dijalankan, pihak polis telah menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes itu pada pukul 12.05 tengah hari tadi.

“Tangkapan dibuat oleh sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan turut merampas sebuah telefon bimbit berserta kad sim.

“Permohonan reman ke atas suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dipohon esok bagi siasatan selanjutnya dan pihak polis kini dalam usaha mengenal pasti sama ada terdapat individu lain turut serta dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, suspek telah memuat naik klip video berdurasi 3 minit 11 saat menerusi platform YouTube atas nama pemilik akaun Happy Family Malaysia pada pertengahan Februari lalu.

“Siasatan berhubung kes ini dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM ingin menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran serta mengganggu gugat keharmonian negara,” tambah beliau.

Ujar beliau, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam ketenteraman serta keselamatan awam.

Terdahulu, Kosmo! pada 20 Februari lalu melaporkan tentang Polis Johor mengesahkan melakukan pemeriksaan ke atas kediaman keluarga seorang lelaki berbangsa India yang mendakwa telah memurtadkan wanita Islam menerusi satu video tular.

Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan berikutan lelaki terbabit tiada di premis di tersebut ketika itu.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI