ALOR SETAR – Naib juara Liga Super musim lalu, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mencatat kemenangan sulung musim ini apabila membenam cabaran Sabah FC 2-0 di Stadium Darul Aman di sini malam ini.
Gol pasukan Hijau Kuning bimbingan Aidil Sharin Sahak dihasilkan menerusi dua tonggak penyerang import, Tchetche Kipre serta Kpah Sherman pada minit ke-14 dan 20.
Jaringan Kipre terhasil setelah penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining gagal menampan kemas percubaan Sherman yang terlebih dahulu menerima lorongan daripada seorang lagi pemain import, M. Anumanthan.
Bola tampanan Robson singgah tepat ke kaki Kipre untuk dia mudah menolak masuk ke gawang lawan yang terbuka.
Pada minit ke-20, jasa Sherman dibalas Kipre apabila dia bijak melarikan bola menerusi serangan balas pantas, sebelum membuat lorongan untuk membolehkan Sherman melepasi perangkap offside, lalu berdepan satu sama satu dengan Robson dan menewaskannya untuk gol kedua KDA FC.
Memasuki babak kedua, Sabah mula menemui rentak mereka dengan beberapa gerakan dihasilkan dan berjaya mengucar-ngacirkan benteng Kedah.
Malah pada minit ke-68, pemain pertahanan kiri mereka, Alto Linus berjaya menewaskan penjaga gol Kedah, Mohd. Shahril Saari namun gol itu dibatalkan pengadil, Suhaimi Mat Hassan kerana offside.
Dua minit kemudian, Tchetche Kipre berpeluang menambah jaringan buat tuan rumah namun rembatannya dari dalam kotak penalti tertampan salah seorang pemain pasukan pelawat menyebabkan bola melambung melepasi palang gol.
Rembatan kencang penyerang Sabah, Bobby Gonzalez pada minit ke-84 menjadi percubaan terakhir pelawat untuk setidak-tidaknya mendapatkan gol sagu hati namun bola tepat ke dakapan Mohd. Shahril Saari bagi keputusan muktamad 2-0. – K! ONLINE